Ketika pasaraya BMF Malakat Mall makin sendu, MR. DIY pula terima nasib berbeza

Ketika pasaraya BMF Malakat Mall makin sendu, MR. DIY pula terima nasib berbeza

Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad atau (MR D.I.Y.) telah berjaya sekali lagi diiktiraf sebagai Syarikat Terbaik Tahunan dalam Industri Peruncitan Perkakas Rumah di Malaysia oleh Frost & Sullivan.

Memetik laporan Kosmo, MR D.I.Y. telah menerima Anugerah Kepimpinan Pasaran dan pada tahun 2021 untuk pertama kalinya menerima Anugerah Syarikat Terbaik Tahunan.

Frost & Sullivan, sebuah firma penyelidikan dan penasihat telah mengambil pendekatan
yang ketat dan teliti apabila menerima pencalonan dalam setiap kategori anugerah dengan menjalankan penilaian  terperinci dalam dua dimensi utama iaitu inovasi dan prestasi yang berwawasan, serta memberi impak kepada pelanggan.

Anugerah Syarikat Terbaik Tahunan firma itu adalah penghormatan tertinggi yang mengiktiraf inovasi yang berwawasan, prestasi yang menerajui pasaran, dan khidmat pelanggan yang tiada tandingan melalui analisis Anugerah Amalan Terbaiknya.

Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, pihaknya berbangga kerana diiktiraf oleh Frost & Sullivan buat kali ketiga sejak beberapa tahun ini.

“Ia sememangnya pengiktirafan yang hebat atas usaha kami setiap hari, dan membuktikan bahawa kami terus kekal relevan kepada masyarakat dengan janji Always Low Prices yang kami tawarkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Goh menjelaskan, bersempena  sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 pada bulan Ogos, Kumpulan juga meraikan pembukaan cawangan ke-1,000 kami.

Kumpulan komited untuk menghasilkan pengalaman peruncitan inovatif yang memenuhi imaginasi rakyat,  sentiasa menyampaikan nilai dan berkhidmat kepada komuniti supaya dapat menghasilkan impak yang positif dalam kehidupan semua.