Ketua Pemuda Pas pertahan jawapan Hadi terhadap rasuah pilihanraya
Isu pemberian wang kepada pengundi menjadi faktor perang mulut antara pemimpin Pas dan UMNO.
Terbaharu Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari meminta seorang presiden parti supaya melihat diri sendiri dalam cermin sebelum mengutuk Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Sebelum Datuk Seri Presiden menyerang presiden kami dalam isu rasuah, saya sarankan Datuk Seri membeli cermin, atau gunakan cermin yang ada di kediaman rasmi,” kata Ahmad Fadhli, memetik MalaysiaGazette.
Walaupun tidak menyebut nama namun hantaran yang dibuat dalam media sosial itu dipercayai ditujukan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini berhadapan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.
Dalam kenyataan kepada media hari ini, Ahmad Zahid dilaporkan menyelar sikap ‘double standard’ Abdul Hadi yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Abdul Hadi berkata, mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri wang tetapi terpulang kepada orang awam mahu beri sedekah.
Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai hipokrit.
“Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah,” kata Ahmad Zahid.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menggambarkan Abdul Hadi sebagai seorang “ulama politik” dan menggesanya agar tidak mengubah hukum sesuatu perkara.
Semalam, Abdul Hadi dilaporkan mempertahankan pemberian wang tunai yang dibuat dengan mendakwanya sebagai sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Pada 3 Januari lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen itu sepanjang tempoh kempen PRU15.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, Pas menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15, dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.