Ketua Pemuda PKR menghadap Anwar jelaskan isu sebenar
Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir hari ini mengadakan pertemuan dengan presiden partinya Anwar Ibrahim dipercayai untuk memberi penjelasan berhubung tangkap layar perbualan “menghina” dikaitkan dengannya bersama.
Menurut Akmal pertemuan mereka berlangsung di parlimen hari ini.
Untuk rekod Akmal merupakan ahli parlimen Johor Bahru manakala Anwar mewakili Port Dickson.
“Alhamdulillah, saya telah bertemu Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
“Saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kekhilafan yang berlaku dan beliau berharap isu ini tidak diperpanjangkan lagi,” katanya di Facebook.
Turut kelihatan dalam gambar yang mengiringi hantaran tersebut ialah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Akmal dia juga menerima pandangan Anwar agar semua anggota PKR melihat ke hadapan dan memberi tumpuan kepada usaha melaksanakan reformasi.
“Kita PKR adalah satu keluarga. Perbezaan sesama kita perlu diraikan selagi perbezaan itu bernaung di bawah prinsip dan idealisme reformasi,” katanya.
PKR sebelum ini memang berdepan dengan pelbagai perselisihan dalaman, termasuk membabitkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, yang pernah menjadi timbalan presiden.
Krisis itu kemudian menyaksikan Azmin dan beberapa ahli parlimen yang bersamanya meninggalkan PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas sebelum sebahagian besar mereka menyertai Bersatu.
Akmal berdepan desakan daripada beberapa pemimpin AMK sendiri yang menuntut dia memberi penjelasan berhubung dakwaan dia membuat pandangan yang mengkritik Anwar.
Malah sesetengah pemimpin AMK mendesak Akmal meletak jawatan.
Ia dilihat mendorong Naib Presiden PKR Rafizi Ramli tampil menyebelahi Akmal dan pada masa sama memberikan ‘nasihat’ kepada Anwar agar berhati-hati dengan kumpulan “budak-budak” yang didakwanya kuat membodek.
Dia membalas satu ciapan yang menganjurkan agar “kekhilafan” Akmal tidak harus dihukum berlebih-lebihan, namun Rafizi tidak merujuk mana-mana pihak dalam balasannya itu.