Keuntungan peribadi diterima Najib hasil 1MDB melebihi RM3 bilion, dedah FBI

Keuntungan peribadi diterima Najib hasil 1MDB melebihi RM3 bilion, dedah FBI

Agen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata bekas perdana menteri Najib Razak menerima AS$756 juta (kira-kira RM3.2 bilion) daripada jumlah AS$6.5 bilion hasil jualan bon yang diaturkan Goldman Sachs, ketika memberi keterangan di mahkamah Amerika Syarikat (AS) dalam perbicaraan kes rasuah Roger Ng.

Eric Van Dorn turut menamakan beberapa individu lain yang menerima wang itu, termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang menerima AS$1.42 bilion, bekas pengarah urusan International Petroleum Investmen Company (IPIC) di Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi yang menerima AS$472.8 juta, bekas jurubank Goldman Sachs Tim Leissner (AS$73.4 juta) dan anak tiri Najib, Riza Aziz (AS$238 juta).

Dalam pada itu, Van Dorn turut mengatakan Ng mengambil AS$35.1 juta hasil dua dari tiga transaksi bon tersebut.

Beliau juga berkata, mereka adalah antara 16 individu yang dikenal pasti sepanjang siasatannya menjejaki dana 1MDB yang lesap.

Ng yang merupakan bekas eksekutif Goldman Sachs didakwa menerima jutaan dolar dalam bentuk suapan bagi membantu penyelewengan dana dari 1MDB.

Beliau memohon dibicarakan bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

Pertuduhan tersebut adalah hasil siasatan terhadap salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pendakwa raya AS berkata AS$4.5 bilion dari AS$6.5 bilion hasil jualan bon oleh Goldman bagi 1MDB diselewengkan pegawai kerajaan dan bank serta rakan subahat mereka melalui rasuah dan suapan.

Najib yang merupakan ahli Parlimen Pekan didapati bersalah di Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 atas tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

Pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut di mana panel hakim menyifatkan transaksi wang tersebut ke dalam akaun peribadinya sebagai satu perbuatan yang “memalukan negara.”

Najib kini sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.