Khairuddin At-Takiri disebut-sebut bakal isi jawatan utama Majlis Ulama UMNO

Khairuddin At-Takiri disebut-sebut bakal isi jawatan utama Majlis Ulama UMNO

Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada Umno ekoran rancangan parti terbabit mahu menubuhkan majlis ulama.

Menurut Mohd Khairuddin Aman Razali, penubuhan majlis ulama berkenaan adalah selaras dengan pindaan perlembagaan yang dibuat Umno pada 2019 bagi meletakkan Islam sebagai cita-cita perjuangan mereka.

Dia yang menjadi calon BN untuk kerusi Kuala Nerus dalam PRU ke-15 menambah majlis ulama Umno itu boleh berperanan sebagai penasihat di semua peringkat agar selaras dengan Islam.

“Selain itu ia juga dapat membantu usaha memperkasakan amalan Islam dalam kalangan ahli parti,” katanya hari ini, memetik Malaysiakini.

Terdahulu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan rancangan parti itu menubuhkan majlis ulama secepat mungkin bagi menghadapi realiti baru politik negara.

Ia dinyatakan Ahmad Zahid semasa menyampaikan ucapan dasarnya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pagi tadi.

Mohd Khairuddin berkata majlis ulama itu juga nanti boleh memberikan pandangan dan nasihat kepada kerajaan persekutuan dan negeri dari semasa ke semasa.

“Tahniah kepada Umno khususnya Datuk Seri Ahmad Zahid,” katanya.