Khairuddin masuk hospital sementara menunggu keputusan siasatan tak kuarantin

Khairuddin masuk hospital sementara menunggu keputusan siasatan tak kuarantin

SHAH ALAM – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dimasukkan ke hospital semalam berikutan tidak mendapat rehat yang secukupnya.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, beliau dinasihatkan agar berehat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan minggu lalu namun tidak berbuat demikian sebaliknya terus mengikuti jadual kerja yang padat.

“Minggu lepas selepas pemeriksaan, doktor minta berehat seminggu namun tugasan yang banyak tidak mengizinkan untuk rehat sepenuhnya.

“Hanya boleh ditangguhkan beberapa program. Jadual panjang menanti termasuk di Sabah dan Miri, Sarawak pada hujung bulan ini. Moga sempat kembali sihat.

“Doakan saya untuk terus sihat. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Doa senjata bagi orang mukmin,” catat beliau di Facebooknya, malam tadi.

Bagaimanapun keadaan kesihatan Mohd Khairuddin stabil walaupun terpaksa berehat di wad sebuah hospital yang tidak dinyatakan di mana sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan susulan hari ini.

“Alhamdulillah. Sihat dan sakit adalah sunnah kehidupan. Pertama kali berpengalaman masuk wad sebagai pesakit hari ini.

“Esok (hari ini) hanya prosedur kecil sahaja. Harapnya sehari dua mudah-mudahan sudah boleh keluar,” katanya di laman sosial itu.

Sumber : Sinar Harian