Khairy arah KKM denda Hishamuddin

Khairy arah KKM denda Hishamuddin

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Ahad mengarahkan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menghadiri Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di EduCity, Kota Iskandar.

Khairy melalui ciapan di Twitternya memaklumkan kompaun itu akan dikeluarkan kepada Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan pemimpin utama serta penganjur majlis berkenaan di bawah Akta 342.

“Saya telah mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur di bawah Akta 342.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui kekhilafannya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir dalam Majlis Pelancaran Briged MIC Johor siang tari, lapor Astro Awani

Jelas Hishammuddin dalam ciapan di Twitter rasminya, beliau hadir sebagai tetamu dalam majlis itu dan mengakui memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP dalam majlis terbabit.

“Saya hadir sebagai tetamu dan saya terima, memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP tadi. Tapi, salah tetap salah.

“Tiada siapa siapa melebihi undang-undang, termasuk saya. Ini menjadi pengajaran buat kita semua,” jelasnya ringkas.

Dalam perkongsian video, Hishammuddin turut memaklumkan program politik dilihat sukar dikawal meskipun diberi kelonggaran.

“Kalau melibatkan diri saya sendiri pun, sebelum kita datang (ke majlis) kita tidak tahu apa akan berlaku. Sebab itu PRN kali ini….bahawa dalam program politik dalam apa jua kelonggaran kita beri masalah dia, kita susah nak kawal.

Mereka yang dikenakan kompaun ialah Menteri Kanan Pertahanan merangkap Pengerusi Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, dan Pengerusi BN Johor, merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Turut dikenakan kompaun ialah penganjur untuk Majlis Pelancaran Briged MIC Johor, yang diadakan di Kota Iskandar, awal hari ini.