Khairy dedah sikap kurang ajar pegawai Najib enggan terima 4 kompaun langgar SOP di PRN Johor
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan Najib Razak tentang beberapa kompaun tertunggak kerana melanggar SOP Covid-19 selepas bekas perdana menteri itu mempersoalkan mengapa veteran DAP Lim Kit Siang tidak dikenakan tindakan ketika kongres parti itu baru-baru ini.
Najib berkata sebelum ini Lim yang dijangkiti Covid-19 baru-baru ini dilihat memeluk anggota DAP ketika kongres parti itu di Shah Alam.
“Kenapa pula artis Anugerah Juara Lagu boleh disaman (kerana) berpeluk tapi kementerian kesihatan Malaysia (KKM) tak saman DAP?” soalnya dalam tulisan di Facebook semalam.
“Saya tak berniat jahat tapi geng inilah yang paling seronok tuduh saya langgar SOP sehingga (menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin saman saya banyak kali.”
Dalam ciapan di Twitternya hari ini, Khairy berkata Lim sudah dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.
“KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle,” katanya.
“Harap @NajibRazak menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS enggan terima sebelum ini.”
Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle. KKM juga harap @NajibRazak menerima 4 lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS enggan terima sebelum ini. https://t.co/6wS3eO3lOK pic.twitter.com/xXFql3u8Io
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) March 22, 2022
Khairy mendedahkan awal bulan ini bahawa kementeriannya mengeluarkan 42 notis kompaun kerana pelanggaran SOP semasa kempen PRN Johor, termasuk lima kepada Najib.
Tambahnya, hanya satu yang berjaya diserahkan kepada Najib pada 8 Mac.