“Khutbah Masjid UIA pun dalam bahasa Inggeris” – Netizen sekolahkan Rais Yatim

“Khutbah Masjid UIA pun dalam bahasa Inggeris” – Netizen sekolahkan Rais Yatim

 

Sebilangan warganet menyelar kembali bekas speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang mendakwa pengumuman Sarawak mahu menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggeris sebagai mencabar maruah umat Islam.

Bekas speaker Dewan Negara itu berkata, cadangan Sarawak itu sudah melampaui batas dan ‘tiada jantan’ dalam memperjuangkan agama.

“Sarawak sudah mengumumkan khutbah dalam bahasa Inggeris. Tadi baru picit pinggang sekarang kehormatan tuan-tuan sudah tidak ada.

“Itu hormatnya. Kejantanan kita sudah tidak ada. Tiada jantannya kita dalam perjuangan lagi. Jantan itu agama kita,” katanya seperti dilapor TV Pertiwi yang pro pembangkang ketika berucap merasmikan Forum Peranan Bahasa & Budaya Dalam Mengangkat Jati Diri Orang Melayu di Kuala Lumpur.

Apa yang menarik, pandangan Rais itu ditepis rata-rata pengguna media sosial yang tertanya-tanya bagaimana penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam menyampaikan khutbah Jumaat boleh menggugat akidah umat Islam.

Menggunakan contoh seperti masjid di negara barat, ramai mempersoal adakah mereka di sana perlu menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan khutbah.

Melihat situasi di dalam Malaysia sendiri, ada juga masjid-masjid yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu dalam menyampaikan khutbah.

Menurut perkongsian ramai, Masjid India di Kuala Lumpur contohnya, menggunakan bahasa tamil ketika khutbah. Masjid As-Syakirin di KLCC pula dikatakan menggunakan khutbah berbahasa Inggeris.

“Masjid As-Syakirin KLCC selang seminggu dia buat khutbah dalam Inggeris tak ada masalah pun. Tak ada pun orang nak mengamuk tak tentu hala,” kata @pipnyet.

Beberapa orang turut mempersoalkan mengapa Rais tidak berbuat apa-apa untuk menghalang masjid di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) daripada menyampaikan khutbah Jumaatnya dalam bahasa Inggeris semasa beliau menjadi presiden keenam universiti itu dari 2013 hingga 2018.

“Mungkin Tan Sri lupa masa jadi presiden UIAM dulu. Khutbah di masjid UIAM pun dalam bahasa Inggeris juga,” kata @rafieajikin.

Untuk rekod, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sarawak mempunyai pilihan untuk menggunakan kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

Di bawah Artikel 161 Perlembagaan Persekutuan berhubung perlindungan bagi Sabah dan Sarawak, menyatakan bahawa Sarawak mempunyai kebebasan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris dan juga bahasa asal, bersama dengan bahasa Malaysia sebagai medium rasmi komunikasi.

Kabinet Persekutuan pada 2023 juga bersetuju supaya penggunaan bahasa Inggeris kekal dibenarkan dalam urusan rasmi di Sabah dan Sarawak.