Kilang pau terkemuka di Tanjung Malim, rupanya sudah tidak sah berstatus halal

Kilang pau terkemuka di Tanjung Malim, rupanya sudah tidak sah berstatus halal

 

Sebuah kedai pau yang sangat terkenal di Tanjung Malim sehingga namanya disebut dalam portal rasmi majlis daerah itu rupanya sudah tidak sah berstatus halal.

Kilang pau terkemuka itu tidak mempedulikan nasihat untuk memperbaharui sijil halal yang sudah tamat tempoh sejak dua tahun lalu.

Menjadi tumpuan ramai pengunjung di serata Malaysia terutamanya kumpulan bermotosikal kuasa tinggi, perusahaan kilang pau dan kopi itu masih meneruskan operasi.

Akibatnya, kilang pau yang sudah beroperasi lebih dari setengah abad dan mempunyai empat cawangan itu diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan oleh KPDN Cawangan Tapah bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kelmarin.

“Didapati kilang itu telah menggunakan sijil halal yang telah tamat tempoh pada September 2022.

“Operasi bersepadu ini dilaksanakan hasil semakan ke atas pemegang-pemegang sijil halal yang masih menggunakan logo halal walaupun telah tamat tempoh sah.

“Pengusaha pau itu telah dinasihati oleh pihak JAIPk tiga bulan lalu untuk memperbaharui permohonan sijil halal, namun tidak diendahkan.

“Susulan itu, KPDN telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang dipercayai pemilik kilang serta merakam keterangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, satu tindakan kes diambil Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita pau dan kopi yang menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berwibawa iaitu JAIPk.

Jelasnya, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM30,000.

“Kes disiasat di bawah Perintah 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal,” katanya lagi.