Kini terbukti Pas parti rasuah, beli undi untuk menang pilihanraya?

Kini terbukti Pas parti rasuah, beli undi untuk menang pilihanraya?

 

Keputusan pimpinan PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu membuktikan unsur rasuah dan beli undi berlaku di kawasan itu.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mendakwa sebelum ini pelbagai teori dan asbab diberikan Perikatan Nasional (PN) apabila mereka berjaya merampas beberapa kawasan yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“(Semasa PRU lalu) bukan saja Permatang Pauh, kita juga tidak dapat mempertahankan Merbok dan Kepala Batas.

“Ada banyak teori yang mereka bagi (kenapa mereka menang), sebab A, B dan C tetapi hari ini pimpinan PAS tidak mempertahankan kekalahan mereka di mahkamah. Kalah petisyen pada pilihan raya di Kuala Terengganu membuktikan rasuah dan membeli undi memang berlaku. Inilah sebabnya mereka memenangi kerusi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Madani PKR di Bukit Selambau semalam.

Pada 27 Jun lalu, mahkamah pilihan raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada PRU15.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, pihak pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Berikutan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunggu Perakuan Hakim Pilihan Raya untuk mewartakan kekosongan kerusi dan mengadakan pilihan raya.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.