Kisah ban pecah sawah padi bertukar lautan penuh tragis, ceritanya ada kaitan dengan anak yatim

Kisah ban pecah sawah padi bertukar lautan penuh tragis, ceritanya ada kaitan dengan anak yatim

 

Tanjung Piandang, daerah Kerian di Perak, Ban Pecah merupakan antara destinasi popular untuk kaki pancing dan lokasi menarik untuk jurugambar perkahwinan kerana pemandangan lautnya yang cantik terutama pada waktu matahari terbenam.

Nama “Ban Pecah” dikaitkan dengan tragedi di mana “ban” atau kubu yang memisahkan laut dengan kawasan berpenduduk padat itu musnah.

Kenapa tiba-tiba ada kunci air di tengah laut di Perak? Ini cerita sebenarnya ada kaitan dengan anak yatim Tiada makna khusus dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka atau kamus Bahasa Melayu, tetapi istilah “ban” dalam dialek negeri di utara ialah sempadan yang memisahkan sawah.

Tahukah anda tempat yang menjadi pilihan keluarga untuk berehat pada hujung minggu ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

“Sumpahan Ban Pecah” berkait antara unsur sejarah dan mitos malahan ia turut menimbulkan tanda tanya.

Sawah padi bertukar laut

Pantai unik ini menerima ramai pelancong hampir setiap hari. Menurut penduduk tempatan, kawasan tersebut merupakan kawasan penanaman padi yang subur sekitar tahun 1960-an.

Menurut penduduk setempat, sumpahan anak-anak yatim teraniaya menyebabkan sawah yang subur itu bertukar menjadi laut sepenuhnya.

Kisah ini tidak pernah dilupakan oleh penduduk kawasan dan daerah berhampiran seperti Bandar Baharu, Kedah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

Menurut laman Orang Perak seorang penduduk Kampung Sungai Baharu ketika itu, Masjuri Anang berusia 84 tahun menulis di Tanjung Piandang kejadian itu menimpa dua beradik kaya kerana memiliki tanah bernilai tinggi.

Bekas imam di kampung itu meyakinkan bahawa kisah ini bukan mitos, malahan ia menjadi topik perbincangan penduduk kampung ketika itu. Namun, lama kelamaan, cerita itu semakin tidak dibicarakan lagi lalu lenyap sedikit demi sedikit.

Bapa saudara kepada dua anak yatim tersebut diamanahkan menjaga harta peninggalan arwah bapa mereka .

“Memang benar dahulunya kawasan pantai ini adalah ‘lautan sawah’ padi yang amat subur iaitu kira-kira 400 hektar luasnya. Ia milik penduduk kampung termasuk dua beradik yang merupakan anak orang berada.

“Hampir dua pertiga tanah sawah itu milik mereka. Sebelum saudara yang sulung meninggal dunia, dia telah meminta adiknya menjaga anaknya dan tanah sawah miliknya.

“Namun, ketika anak-anak itu sedang membesar, bapa saudara mereka telah mengkhianati amanah tersebut. Semua bahagian harta milik si abang tidak diserahkan seperti yang diamanahkan, sebaliknya dibolot oleh si adik,” ujar Masjuri.

Sumpahan anak yatim teraniaya

Bagi menyara kelangsungan hidup, anak yatim yang tidak tahu pada mulanya tentang peninggalan harta itu terpaksa bekerja keras setiap hari untuk mendapatkan sesuap nasi.

Menurutnya, kata-kata masyarakat setempat ketika itu menyedarkan anak yatim berkenaan bahawa bapa saudara sendiri telah mengkhianati amanah bapa mereka.

Akhirnya satu kejadian telah berlaku, sumpahan diungkap oleh anak-anak yatim tersebut kepada bapa saudara mereka.

“Dia bertemu bapa saudaranya bertanyakan perkara itu tetapi disangkal dan dihalau keluar. Sebelum meninggalkan kampung, anak itu berdoa, ‘Ya Allah, jika benar apa yang berlaku ini, engkau tunjukkan balasannya’. Sejak itu,ombak mula mengganas memecah benteng sawah atau ban yang dibina.”

“Kawasan bendang dan kebun kelapa bertukar menjadi pantai menyebabkan penduduk kampung cemas. Segala usaha dilakukan seperti menambak dan cuba mengalirkan air laut ke dalam kolam, tetapi tidak berkesan sehingga segelintir penduduk kampung menggunakan bomoh dan pawang,” ujarnya.

Kisah di sebalik nama “Ban Pecah” dapat memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Saya masih ingat lagi penduduk mengorbankan seekor lembu putih atas kehendak pawang. Ketika itu, saya berusia belasan tahun dan lihat sendiri tulang-tulang lembu bertaburan di tepi pantai.” ujar seorang lagi penghuni kampung itu, Ahmad Mukri, 74.

Pada masa sama, pemilik gerai berusia 48 tahun, Hassan Mohamad mengakui pernah melihat objek seperti pintu air ban di tengah laut ketika air surut.

“Saya masih dapat melihat pintu air di tengah laut dari jauh, kira-kira dua atau tiga kilometer dari pantai. Pintu air itu jelas membuktikan bahawa laut dahulunya adalah ban sekarang,” katanya.

Ishak Cik, 64, merupakan seorang penduduk yang bermain di kawasan Ban Pecah ketika remaja, namun pandangannya berbeza. Beliau berhujah bahawa kejadian itu adalah fenomena semula jadi yang disebabkan oleh hakisan pantai dan ombak besar yang berlaku pada awal 1960-an.

Sejauh mana kebenaran kisah ini bergantung kepada kepercayaan anda kerana kedengaran tidak masuk akal tetapi pengajaran boleh diambil adalah jangan diambil harta anak yatim kelak buruk padahnya.