Kisah Benar : Gara-gara tidak mampu belikan hadiah untuk gurunya, pelajar ini sanggup ponteng menyorok di masjid

Kisah Benar : Gara-gara tidak mampu belikan hadiah untuk gurunya, pelajar ini sanggup ponteng menyorok di masjid

PONTENG SEKOLAH KERANA TAK BAWA HADIAH

Ketika menjadi pengetua dulu, suatu pagi seorang imam masjid yang saya kenali menelefon saya. Katanya ada seorang budak sekolah di masjid, macam ponteng sekolah.

Hari itu Hari Guru 16 Mei, pelajar dan guru tidak berada dalam kelas tetapi di dewan dan padang sibuk dengan aktiviti sambutan.

Saya bergegas sendiri ke masjid yang disebutkan. Parking kereta agak jauh di penjuru masjid,saya mula meninjau ke masjid.

Tidak ada di balai lintang, saya menjengah ke dewan solat. Tidak ada juga tetapi ketika beralih ke bahagian muslimat, saya ternampak satu susuk tubuh.

Saya segera ke bahagian itu dan memang ada seorang pelajar perempuan. Dia begitu terkejut melihat saya. Bibirnya terketar mengucap salam pada saya, tangannya meraup sejadah lalu dipeluk ke tubuh, bagai seorang anak takutkan bapa yang garang.

Dia segera berdiri menghormati saya, tetapi saya suruh duduk. Saya kenal pelajar ini kerana pernah naik menerima hadiah kecemerlangan di pentas.

Bila ditanya sebab apa ponteng sekolah sedangkan dia pelajar yang baik, dia hanya berkata, “Tak ada apa cikgu”.

Saya tak puas hati kerana ini bukan tabiatnya. Saya desak dia bercakap benar.

Matanya mula berair bila dia memulakan bicara lagi, saya tahu dia akan berkata benar, “Cikgu, saya malu nak ke sekolah hari ini kerana saya tidak ada hadiah untuk diberi pada guru sempena hari guru. Ayah tak ada duit untuk beli hadiah kerana waktu ini tengah bulan, ayah saya kerja pengawal keselamatan. Emak telah meninggal.”

Dia berhenti bercakap. Kepala terhanguk-hangguk menahan tangis. “Malu ditanya rakan apa hadiah yang dibawa pada cikgu, lebih malu bila ada bertanya, Nurul tak bawa hadiah ka? Ini telah berlaku tahun lalu.”

Air matanya yang deras dikesat dengan kain tudung yang separuh lusuh. Saya pula yang turut sedih dan tidak terucap kata. Saya menghantarnya balik ke rumah, dalam perjalanan fikiran berkecamuk.

Rupanya kegembiraan hari guru dan sambutannya telah mencederakan hati seorang insan bergelar pelajar, bahkan saya yakin lebih ramai lagi pelajar yang miskin merasa gundah resah bila datang hari guru.

Menjadi kelaziman Hari Guru 16 Mei disambut oleh pelajar dengan memberi hadiah kepada guru disamping program sekolah.

Memanglah ia sesuatu yang baik. Tetapi kebanyakan ibu bapa yang miskin, yang kurang berkemampuan menghadapi situasi serba salah bila anak merengek minta dibelikan hadiah, tidak mahu ke sekolah tanpa hadiah.

Bagi yang berada, minta hadiah lebih baik untuk mengatasi rakan. Anak yang telah besar di sekolah menengah mungkin tidak mendesak tetapi memilih jalan lain untuk mengelak dan memendam rasa tetapi siapa yang peduli.

Maka adalah baik jika hadiah kepada guru tidaklah diberi penekanan, highlight kerana ia juga boleh disalahguna untuk meraih perhatian guru, dan jika dibuat biarlah secara tertutup bukan dalam kelas yang menyebabkan pelajar lain terasa, maksudnya hadiah pada guru biarlah diserah sendiri di bilik guru.

Bagi sekolah yang berada di luar bandar yang ibu bapa berpendapatan rendah, lebih lebih lagilah perkara ini kena diberi perhatian.

Hakikatnya, pelajar yang baik bukan memberi hadiah kepada gurunya tetapi memberi khidmat kepada gurunya, bekerjasama dan patuh pada semua arahan.

Hari guru sebaiknya disambut dengan penzahiran rasa syukur kepada Allah, bukan hanya di zahirkan dengan berseronok suka.

Mungkin sukan, sukaneka itu baik untuk menjalin hubungan tetapi saya tak nampak di mana baiknya cikgu naik melalak menyanyi di pentas, murid menyanyi dan menari.

Mungkin sketsa yang mendidik, majlis tahlil, bacaan Yasin, solat hajat dan sujud syukur, kenduri satu sekolah, explorace yang bersifat pelajaran dan sebagainya lebih sesuai. Guru kena bersyukur kerana menjadi guru yang mendidik, ibu bapa kena bersyukur kerana ada yang mengambil tanggungjawab mendidik.

Marilah kita berubah apabila menyambut sesuatu perayaan daripada berseronok suka kepada penzahiran rasa syukur kepada Allah.

Kepada ibu bapa, minta anak menghadiahkan hari guru dengan janji untuk menjadi pelajar yang baik, taat dan berdisiplin, itu lebih besar maknanya kepada seorang guru daripada sekotak hadiah.

Daripada kisah yang saya paparkan, jangan kita melihat sesuatu daripada satu sudut sahaja, daripada situasi dan pandangan kita sahaja tetapi berfikirlah daripada pelbagai sudut dan situasi.

Baik pada kita tetapi mungkin mencederakan orang lain. Selalulah berfikir supaya kita tidak menyusahkan orang lain, sebaliknya selalulah berusaha untuk menggembirakan orang lain, kelak di akhirat Allah gembirakan kita.

Wallahu a’lam.

Sumber – FB Abd Ghani Haron