Kisah kejatuhan jenama Nokia yang ramai tidak tahu, boleh jadi pengajaran kepada kita

Kisah kejatuhan jenama Nokia yang ramai tidak tahu, boleh jadi pengajaran kepada kita

 

Suatu masa dahulu, telefon bimbit jenama Nokia pernah menjadi kegilaan umat manusia di seluruh negara. Telefon bimbit ini merupakan antara model telefon yang paling ikonik pada awal tahun 2000 dan dikenali dengan ketahanannya.

Namun, tahukah anda bagaimana sebuah syarikat gergasi seperti Nokia boleh jatuh merudum?

Nokia mula memasuki industri telefon bimbit pada awal tahun 90-an namun mula popular pada akhir tahun 90-an dan awal tahun 2000. Pada bulan Oktober tahun 1998, Nokia tersenarai sebagai telefon bimbit yang terlaris di pasaran dan pada tahun 2007. Pelopor industri telefon bimbit ini memegang sebanyak 50% dari bahagian pasaran telefon bimbit.

Malangnya, era kegemilangan Nokia tidak bertahan lama. Setelah beberapa tahun merasai manisnya kejayaan, Nokia jatuh merundum pada tahun-tahun seterusnya disebabkan kekurangan inovasi dan pelbagai faktor lain.

Antara punca kegagalan Nokia adalah:

1. Nokia tidak mahu berubah

Industri teknologi telefon bimbit kian berubah. Telefon bimbit tradisional kini digantikan dengan telefon pintar. Apabila jenama-jenama lain mula mengorak langkah ke arah pembangunan, Nokia masih lagi ditempat yang sama.

Meskipun Nokia merupakan model telefon yang pertama untuk mengeluarkan telefon pintar dengan sistem operasi Symbian pada tahun 2002, ia tidak cukup untuk berjalan seiring dengan pembangunan teknologi yang bergerak pantas.

Jenama-jenama lain seperti Samsung dan Apple turut sama bersaing untuk mengeluarkan telefon pintar yang terbaik. Namun, Nokia masih tetap memilih untuk mengeluarkan versi telefon yang lama. Hal ini secara tidak langsung telah mengubah fokus pengguna kepada jenama-jenama lain yang menawarkan kelainan.

2. Persaingan dalaman

Persaingan dalaman di kalangan pihak pengurusan merupakan punca kejatuhan Nokia. Kekurangan koordinasi dalam pengurusan dan sikap ingin menang pengurus menjadi punca kepada pelbagai masalah dalaman Nokia.

3. Persepsi pengguna

Nokia mempunyai reputasi yang sangat baik di kalangan pengguna dari dahulu hingga kini. Kebanyakan pengguna masih lagi mengenali Nokia sebagai jenama telefon bimbit yang mempunyai ketahanan yang baik.

Walau bagaimanapun, usaha Nokia untuk kekal relevan dalam industri tidak mendatangkan hasil kerana walaupun jenama tersebut mempunyai reputasi yang baik, ia tidak cukup untuk membuat pengguna untuk membeli. Pengguna melihat Nokia sebagai sebuah jenama yang ikonik pada suatu ketika dahulu dan bukannya pada masa kini.

4. Industri yang kompetitif

Nokia yang memilih untuk tidak berubah telah menyebabkan mereka gagal. Industri telefon bimbit lama-kelamaan menjadi tepu dengan kehadiran jenama lain. Walau bagaimanapun, industri tersebut kini dimonopoli oleh jenama-jenama besar dan kompetitif seperti Samsung dan Apple.

5. Kekurangan plan yang strategik

Jenama seperti Samsung dan Apple telah melahirkan telefon pintar premium atau turut dikenali sebagai flagship yang turut disertakan dengan pelbagai pembaharuan setiap kali telefon pintar dikeluarkan.

Ini membolehkan jenama-jenama tersebut mendominasi pasaran kerana mereka tahu bahawa apa sahaja yang bakal dikeluarkan, pasti akan dinantikan pengguna. Perkiraan daripada pengguna merupakan sesuatu yang tidak dimiliki Nokia.

6. Kekurangan inovasi

Nokia sangat aktif dalam keluaran telefon bimbit sekitar tahun 1996 -2000. Keluaran yang berlebihan pada tahun-tahun ini telah memaksa pihak pengurusan untuk memilih antara inovasi dan pembiayaan. Ini adalah punca kenapa pihak penyelidikan dan pembangunan jenama tersebut tidak mempunyai modal yang cukup untuk meneruskan pennyelidikan dan seterusnya mengeluarkan telefon pintar yang inovatif.

7. Kekurangan visi

Persaingan dalaman yang mendorong kepada pelbagai masalah dalam syarikat mungkin boleh dihapuskan sekiranya Nokia mempunyai pengurus yang berwawasan.

Malangnya, pihak pengurusan Nokia hanya mementingkan keuntungan jangka pendek tanpa menghiraukan masa hadapan syarikat. Ini telah membuka peluang kepada pesaing untuk mengisi kekosongan pasaran dalam industri.

Walau bagaimanapun, Nokia kini bangkit dengan penawaran baharu untuk telefon pintar keluaran mereka.