Kisah kembar Siam pertama di dunia, rupanya berdarah Cina-Melayu

Kisah kembar Siam pertama di dunia, rupanya berdarah Cina-Melayu

 

Terma kembar ‘Siam’ digunakan selepas jenis mereka yang pertama ditemui berasal dari Siam, kini Thailand.

Mereka adalah adik-beradik Chang Bunker dan Eng Bunker yang mendirikan rumah tangga dengan 2 adik perempuan di Amerika dan menjadi bapa kepada 21 orang anak.

Kembar Siam pertama adalah Cina-Melayu

Chang dan Eng yang lahir pada 11 Mei 1811 di sebuah perkampungan nelayan di wilayah Samutsongkram, kira-kira 60 batu dari Bangkok merupakan kacukan Cina (sebelah ayah) dan Cina-Melayu sebelah ibu.

Rekod sejarah menyatakan, bidan yang mengawasi kelahiran terkejut melihat ligamen tebal dan berpintal dan menghubungkan kedua-dua mereka.

Asalnya pasangan “bercantum” ini dinamakan Jun (Chang) dan In (Eng) oleh ibu bapa kemudian ditukar sewaktu berjelajah ke luar negara.

Chang dan Eng membesar menjadi lelaki yang kuat. Mereka berlari, berenang, mengayunkan bot dan membantu keluarga menjual telur itik. Bagaimanapun kehidupan pasangan ini berubah apabila seorang peniaga British bernama Robert Hunter terserempak dengan mereka.

Hunter, pada mulanya menyangka mereka “haiwan yang pelik,” menyampaikan hasrat untuk membawa pasangan ini ke Barat untuk dijadikan sebagai bahan hiburan awam.

Ibu pasangan kembar ini bersetuju dengan perjanjian antaranya dan Hunter yang melibatkan sejumlah besar wang namun dihalang oleh Raja Siam, Rama III, ketika itu.

Hunter mengambil masa 5 tahun untuk memujuknya dan menerusi bantuan seorang kapten laut Amerika, Abel Coffin, Chang dan Eng dibawa berlayar ke Barat.

Laporan dalam Daily Mail juga memetik rekod yang menyatakan, pada tahun 1829, ibu kepada anak kembar berusia 17 tahun menerima $500 sebagai pertukaran anak-anaknya selama 30 bulan.

Chang dan Eng ke Massachusetts untuk menghiburkan orang ramai di seluruh Amerika Syarikat dan mereka dikenali sebagai “The Siamese Double Boys”.

Mereka menjana pendapatan yang banyak dan pada 1830, pasangan ini ke Britain untuk melakukan pemeriksaan perubatan selepas seorang doktor menyampaikan hasrat demikian.

Sekembalinya ke Amerika, Chang dan Eng menjadi lebih kaya-raya sehingga mereka memutuskan untuk membuat persembahan secara sendiri, yakni tanpa Hunter dan pengurus mereka, Coffin.

Pada tempoh yang sama juga mereka yang bosan membuat persembahan jalanan memohon menjadi warganegara Amerika dengan mengambil nama keluarga ‘Bunker’ kebetulan nama seorang lelaki yang ditemui di pusat pendaftaran kewarganegaraan.

Kemudian Chang dan Eng yang menetap di North Carolina memiliki sebuah rumah, kedai dan 200 ekar ladang. Mereka jatuh cinta dengan anak petani di tanah mereka.

Pada tahun 1843, Chang berkahwin dengan Adelaide, manakala Eng berkahwin dengan Sarah dan dikurniakan 21 orang anak, Chang dan Adelaide 10 orang, manakala Eng dan Sarah mempunyai 11 orang.

Segalanya berjalan lancar bagi pasangan ini sehinggalah Perang Saudara Amerika, ketika kembar ini memutuskan untuk kembali ke jalanan, membuat persembahan demi menjana pendapatan.

Detik sukar bermula apabila Chang terpengaruh dengan alkohol dan Eng pula terjerumus dalam kegiatan judi ekoran tertekan dengan keadaan ekonomi mereka yang sangat buruk.

Pada Januari 1874 Chang yang menderita angin ahmar beberapa tahun turut dijangkiti bronkitis mati dalam tidurnya. Tiga jam selepas itu, Eng menghembuskan nafas terakhirnya.

Selepas kematian kedua-dua saudara kembar Siam pertama ini, pelbagai pemeriksaan dilakukan dan jantung bersama mereka diawet dan disimpan di Muzium Mutter di Philadelphia.

Artifak peribadi mereka juga dipamerkan di North Carolina Collection Gallery di University of North Carolina di Chapel Hill.