Kisah penciptaan dan persengketaan jenama Adidas-Puma yang ramai tidak tahu

Adidas dan Puma merupakan dua jenama sukan yang terawal bertapak di dalam industri dunia sukan. Kedua-dua jenama ini merupakan jenama yang sangat dominan di dalam industri dunia sukan sejak era 1960-an lagi.
Mereka semakin menyerlah apabila menjadi pilihan utama para atlet ketika temasya sukan terbesar di dunia pada era 1980-an berlangsung iaitu Sukan Olimpik dan juga Piala Dunia.
Mungkin ramai di kalangan kita tidak tahu bahawa dua syarikat terkenal di dalam industri sukan ini adalah berasal dari keluarga yang sama dan berpecah mengikut haluan masing-masing selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.
Mari kita lihat bagaimana kedua syarikat ini berpecah dan bermusuh diantara satu sama lain sehingga permusuhan mereka itu merebak melibatkan penduduk bandar Herzogenaurach.
Adolf Dassler dan Rudolf Dassler merupakan anak kepada pasangan Christoph Dassler yang merupakan seorang tukang kasut manakala ibunya Pauline Dassler mempunyai perniagaan mencuci pakaian. Minat untuk menghasilkan kasut ini datangnya dari ayah mereka.
Pada awal tahun 1920-an, Adolf Dassler yang bermula dengan kedai membaiki kasut dan kemudiannya telah menubuhkan sebuah kedai kasut yang mana menghasilkan kasut dari kulit dan bahan getah yang berkualiti tinggi.
Perniagaan pembuatan kasut Adolf Dassler begitu memberangsangkan dan dia kemudianya membawa masuk abangnya Rudolf Dassler untuk memasarkan kasut ciptaanya itu. Pada tahun 1924, mereka secara rasmi menubuhkan sebuah syarikat pembuatan kasut yang bernama Gebrüder Dassler Schuhfabrik.
Kejayaan pertama untuk syarikat ini adalah ketika Sukan Olimpik tahun 1928 di Belanda yang mana atlit perempuan Jerman mendapat pingat emas di dalam sukan olahraga menggunakan kasut yang dibuat oleh Adolf Dassler.
Kemuncak kejayaan syarikat keluarga Dassler in pada Sukan Olimpik tahun 1936 yang mana mereka berjaya meyakinkan atlet selain Jerman untuk menggunakan kasut keluaran syarikat mereka.
Kejayaan yang dimiliki oleh syarikat ini tidak kekal lama apabila Perang Dunia Kedua tercetus pada awal 1940-an. Syarikat ini telah dipaksa untuk menghasilkan kasut untuk tentera Nazi Jerman.
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, bibit permusuhan di antara dua beradik ini mula tercetus yang mana syarikat asal mereka terpaksa berpecah kepada dua buah syarikat yang lain.
Adolf Dassler menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Adidas manakala abangnya Rudolf Dassler turut menubuhkan syarikat yang diberi nama Rudo yang kemudianya menukarkannya kepada Puma untuk tujuan komersil.
Ada Beberapa Teori Mengapa Mereka Berpisah
Di antara teori yang terkenal mengenai permusuhan mereka berdua adalah disebabkan Rudolf Dassler mempunyai skandal dengan isteri Adolf Dassler.
Ada pula yang mengatakan Adolf Dassler memberitahu kedudukan Rudolf Dassler kepada Tentera Bersekutu agar membunuhnya semasa Perang Dunia Kedua disebabkan ingin membolot kesemua perniagaan keluarga mereka.
Pada tahun 1948, perpecahan syarikat telah berlaku dan para pekerja mereka bebas untuk memlilh syarikat mana yang mereka ingin bekerja. Kedua-dua syarikat ini telah dipisahkan oleh Sungai Aurach di mana kilang mereka bertentangan di antara satu sama lain.
Permusuhan di antara dua beradik ini telah merebak kepada penduduk bandar Herzogenaurach yang mana kebanyakannya adalah pekerja salah sebuah syarikat tersebut. Mereka juga mempunyai komuniti mereka sendiri yang tidak bercampur di antara satu sama lain.
Permusuhan kedua beradik berlangsung sehingga penghujung hayat mereka berdua, sehinggakan Adolf Dassler tidak menghadiri upacara kematian abangnya.
Walaupun mereka berdua telah meninggal dunia, legasi yang mereka tinggalkan di dalam industri sukan masih kekal sehingga hari ini.