KJ tumpas, program pemvaksinan Covid-19 makin mencabar
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menjalani kuarantin di rumah setelah menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
Dalam catatan di akaun Twitter hari ini, Khairy berkata dia telah dikeluarkan perintah pengawasan rumah untuk menjalani kuarantin selama 10 hari.
“Dah buat ujian PCR dan keputusannya kembali negatif. Akan dikemas kini sekiranya status berubah sejak saya menjadi sukarelawan di Pusat Pentadbiran Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada hujung minggu,”katanya.
Khairy tidak mendedahkan mengenai kontak rapatnya, tetapi sumber memberitahu Malaysiakini bahawa ia melibatkan pegawai WTCKL.
Sebelumnya pada sidang media mingguan berhubung program vaksinasi yang dilakukan secara dalam talian, Khairy juga menayangkan dia memakai gelang merah jambu bagi menunjukkan sedang menjalani kuarantin.
Gelang tangan itu menunjukkan tempoh kuarantin dari 15 Mei hingga 24 Mei.
WTCKL kini dijadikan sebagai PPV terbesar di negara ini dengan kapasitinya mampu memberikan lebih 8,100 dos vaksin AstraZeneca setiap hari.
Khairy dilihat mengunjungi pusat itu pada hujung minggu lalu dan malah membantu di kaunter pendaftaran, ketika orang ramai berpusu-pusu hadir ke pusat berkenaan pada 15 Mei.
Malaysiakini menghubungi WTCKL untuk mendapatkan respons. Pengarahnya Irmohizam Ibrahim merujuk soalan Malaysiakini kepada ketua pegawai eksekutifnya, Mohd Yusri Junos.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini tidak ada tanda-tanda wujudnya kluster Covid-19 di WTCKL.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan.
Untuk rekod, Khairy selesai melakukan vaksinasi Covid-19 selepas menerima dos kedua vaksin Sinovac pada 8 April di Hospital Rembau.
Vaksinasi dianggap selesai dua minggu selepas dos kedua diberikan. – MK