KKM larang guna akuarium untuk jual air cedok

KKM larang guna akuarium untuk jual air cedok

 

Baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial yang memaparkan peniaga yang menjual air minuman menggunakan akuarium sebagai balang air.

Perkara itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada netizen, ada yang merasakan ianya sesuatu yang kreatif tetapi ada juga yang beranggapan ianya kelihatan kurang selamat.

Menurut laporan Berita Harian, hari ini Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kenyataan larangan berkenaan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk jualan.

Ia kerana akuarium seperti itu berkemungkinan mengandungi bahan kimia dan memberi kesan kepada kesihatan pembeli.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata tindakan menjual air menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates yang boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air, sekali gus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan,” katanya.

Beliau turut berkata KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas yang tidak sesuai.

Selain itu, beliau turut mengingatkan sesiapa yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.