Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menampal jalan berlubang menerusi “Kempen Aku Janji Zero Potholes” yang diperkenalkan semula Julai lalu.

KKR dalam kenyataan memaklumkan kempen itu yang pernah diadakan dari 2016 hingga 2018 bertujuan memperkukuhkan komitmen kementerian itu terhadap penyampaian perkhidmatan penyenggaraan jalan.

“Ia adalah inisiatif kementerian bersama JKR dan enam syarikat konsesi bagi jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Di bawah kempen ini, kerja menampal jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan dan dalam tempoh tiga hari bagi pembaikan kekal seperti mana dalam kontrak ‘Federal Road Maintenance’.”

“Sekiranya kelebaran lubang itu di bawah 200mm, teknik tampalan tidak melibatkan potongan, sebaliknya ditampal terus, namun apabila kelebaran lubang itu sehingga 1,000mm, ia memerlukan kaedah pemotongan jalan sebelum menampalnya.

“Jika dimensi lubang itu melebihi 1,000mm, maka ia perlu dilihat sebagai kegagalan ‘pavement’.”

Katanya, KKR memperuntukkan RM1.09 bilion bagi kerja menyelenggara jalan persekutuan di seluruh negara, termasuk bil elektrik, lampu isyarat dan jalan pada 2021.

“Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk pelaksanaan ‘weight in motion’ di jalan persekutuan yang dikenal pasti menerusi Belanjawan 2021.

“KKR akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan permukaan jalan tidak cepat rosak akibat lebihan muatan kenderaan.”

Dalam pada itu, KKR sentiasa komited dalam memastikan setiap aduan diselesaikan dengan kadar segera, tanpa mengira status pengadu dan turut mengamalkan “No Wrong Door Policy” demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebanyak 4,091 aduan kategori infrastruktur awam diterima KKR dan JKR sehingga 30 Nov. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,473 aduan merupakan aduan jalan rosak. Semua aduan telahpun diselaraskan dan diambil tindakan oleh JKR.

“Hampir 200,000 jalan berlubang dikesan dan dibaiki melalui pemantauan dan data rondaan JKR pada 2019, manakala 64,000 jalan berlubang direkodkan dan diambil tindakan sehingga Jun lalu.”

KKR juga menyifatkan setiap aduan dan pandangan yang diberikan bertujuan untuk pembangunan sejagat agar maklumat tepat dan lengkap diperolehi bagi tujuan siasatan jelas di lokasi.

Pada 27 Dis lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan cedera apabila basikal ditunggangnya terbalik selepas tayar depan terperosok dalam jalan berlubang.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/30/kementerian-kerja-raya-janji-tampal-jalan-berlubang-dalam-24-jam/