KM Sabah : Azmin setuju Hajiji, bukan dari UMNO

KM Sabah : Azmin setuju Hajiji, bukan dari UMNO

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali berkata selepas mendengar Hajiji Mohd Noor itu berucap, beliau mendapati ketua Bersatu Sabah itu sememangnya layak menjadi ketua menteri.

Azmin berkata demikian ketika berkempen untuk gabungan PN-BN-PBS pada pilihan raya negeri Sabah.

“Ini bukan pandnagan peribadi saya saja tetapi juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Rakyat memerlukan pemimpin yang dihormati untuk menjadi ketua menteri dan orang itu tidak lain dan tidak bukan adalah Hajiji, jelas Azmin lagi.

Menteri perdagangan antara bangsa dan industri itu berucap di hadapan 250 hadiri di bilik gerakan PBS di Tuaran hari ini.

Hajiji yang disebut-sebut namanya oleh menteri kanan PN itu turut hadir.

Calon ketua menteri pilihan Bersatu itu mempertahankan kerusi DUN Sulaman yang berada di bawah parlimen Tuaran.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Azmin ketika ditanya mengenai pendirian BN bahawa masih belum ada keputusan mengenai siapa yang akan menjadi ketua menteri Sabah jika gabungan PN-BN-PBS menang PRN.

Bagaimanapun, Azmin berkata itu cuma pandangan sekutu PN tetapi PN sendiri cukup jelas mengenai calon yang bakal menggalas tugas ketua menteri itu.

Hajiji calon kuat

“Saya fikir beliau perlu diberi peluang memimpin rakyat Sabah selepas pilihan raya, insyaAllah,” katanya.

Ditanya jika calon jawatan itu akan menimbulkan rasa kurang senang rakan sekutu PN, Azmin menjawab:

“Seperti yang saya sebutkan, perdana menteri telah menyatakan secara terbuka bahawa pada pihak kami, PN ingin mencadangkan Hajiji sebagai calon yang sesuai.”

“Kami perlu memastikan rakyat Sabah bahawa ini masa depan untuk mereka dan negeri ini. Kami mahu calon yang kuat, berupaya memimpin Sabah dan kerajaan negeri.

“Kerana mereka perlu tahu semasa pilihan raya ini,” katanya lagi.

Muhyiddin Yassin pada 12 September lalu menawarkan Hajiji sebagai calon ketua menteri Sabah jika pembangkang negeri menang pilihan raya.

Walau bagaimanapun, kata perdana menteri, bahawa keputusan itu perlu dipersetujui daripada sekutu-sekutu Bersatu.

Selanjutnya, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan BN dan rakan kongsinya akan memutuskan ketua menteri Sabah jika mereka berjaya menawan negeri itu.

“Ketua menteri Sabah hanya akan dipilih oleh Adun BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baru,” katanya.

Antara calon ketua menteri BN yang berpotensi ialah Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang bertanding di kerusi yang baru dibentuk, DUN Lamag.

BN nampaknya memiliki peluang yang lebih baik untuk menentukan calon ketua menteri jika gabungan PN-BN-PBS menang kerana bertanding lebih banyak kerusi daripada PN.

BN bertanding 41 kerusi DUN berbanding PN dengan 29 kerusi. PBS pula bertanding 22 kerusi.

Walaupun PN-BN-PBS bersekutu tetapi gabungan itu bertembung sesama sendiri di 17 DUN.

Gabungan itu, yang juga disebut sebagai Gerakan Rakyat Sabah, berusaha merampas kerajaan negeri daripada Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Pakatan Harapan dan Upko.

Tiada pertembungan sesama sendiri antara parti di dalam Warisan Plus dan pakatan itu hanya meletakkan satu calon untuk semua 73 kerusi DUN.

Sumber : Malaysiakini