Kon Yeow dakwa Sanusi hanya berani berkokok di luar, tapi menikus bila berada di dalam gelanggang

Kon Yeow dakwa Sanusi hanya berani berkokok di luar, tapi menikus bila berada di dalam gelanggang

Wsrgamaya hari ini dikejutkan dengan pendedahan berani Ketua Menteri Pulau Pinang terhadap isu tuntutan pajakan negeri tersebut oleh kerajaan Kedah.

Menurutnya, selama ini kerajaan Negeri Kedah tidak pernah menggunakan platform rasmi untuk membuat beberapa tuntutan terhadap Pulau Pinang.

Malah menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, tuntutan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat antara Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar sebelum ini.

Sebaliknya, jelas Chow, kesemua tuntutan yang dibuat Muhammad Sanusi itu hanya disuarakan secara tidak rasmi atau hanya menerusi kenyataan kepada pihak media sahaja, seperti dilaporkan portal akhbar Astro Awani.

Perkara itu dimaklumkan Chow ketika menjawab soalan tambahan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berlangsung hari ini.

“Dalam mesyuarat berkenaan tidak dengar pun suara Menteri Besar Kedah, dalam satu forum  yang melibatkan Perdana Menteri dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Mungkin Menteri Besar Kedah tak berani sebutkan dalam mesyuarat rasmi tapi cuma berani sebut di luar melalui kenyataan-kenyataan atau  respon kepada media sahaja.

“Setakat ini kita memang tak terima apa-apa. Kalau Menteri Besar Kedah  begitu serius dengan perkara ini sepatutnya tulis kepada kepada kerajaan Persekutuan dengan terang dan jelas berhubung perkara ini,” kata Kon Yeow.

Dalam soalan tambahannya, Khai Loon ingin mengetahui sama ada isu tuntutan yang dibuat oleh Kedah terhadap Pulau Pinang pernah dibangkitkan dalam forum rasmi atau pertemuan antara pemimpin negeri dan kerajaan Pusat.

Beliau berkata, setakat ini Pulau Pinang tidak pernah menerima apa-apa tuntutan rasmi daripada Kedah.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah dilaporkan menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Selain itu, Muhammad Sanusi turut menuntut RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun daripada kerajaan Pusat selepas menghentikan pembalakan di hutan Ulu Muda.