Konflik dalaman Umno timbul kerana dendam tak dapat jawatan
Konflik dalaman UMNO ketika ini dilihat berpunca daripada dinamik kekuatan parti yang sudah berubah sekaligus mengakibatkan beberapa ahlinya mengambil keputusan untuk membalas dendam.
Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Dr Shamsul Amri Baharudin, berpandangan peranan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti kini sudah lemah kerana tidak semua memegang jawatan dalam kerajaan ketika ini.
“Kekecohan UMNO ini kerana MKT tiada peranan yang ‘legitimate’ lagi dalam memimpin UMNO.
“Kalau dahulu, MKT jadi sumber kuasa dan kekuatan. Sekarang, MKT sudah lemah kerana ada ahli MKT yang tidak jadi menteri, ada yang jadi menteri,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Tambahnya, pengagihan kuasa dalam UMNO ini menyebabkan kekeliruan dalam kelompok elit parti, namun bukan pada peringkat Bahagian.
“Ada jurang antara 189 Bahagian UMNO dengan elit UMNO. Elit UMNO ini termasuk Ahli Parlimen dan Majlis Kerja Tertinggi,” kata Shamsul.
Pandangan itu senada dengan pandangan Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Taufik Yaacob, yang melihat beberapa Ahli Parlimen UMNO melepaskan dendam susulan isu pengagihan jawatan.
“Ini sebenarnya dendam yang telah lama terbuku dalam hati beberapa Ahli Parlimen UMNO dan mereka mendesak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan segera,” jelas Dr Taufik.
Jelas Dr Shamsul lagi, sebarang keputusan yang diambil oleh MKT UMNO pada mesyuarat malam ini tidak berkait dengan peringkat Bahagian, namun lebih melibatkan pergelutan kuasa pada pucuk pimpinan parti.
“Bagi saya, akhirnya ia bukan perpecahan, tetapi lebih kepada bagaimana ia dapat mengekalkan status quo UMNO dalam kepimpinan,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, sebanyak 147 daripada 189 Bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun, Tan Sri Annuar Musa pula mendakwa hanya 55 Bahagian yang mengusul untuk menolak kerjasama itu setakat tengahari ini.