Kongsi luahan hati, Puteri Sarah lancar lagu sempena ulang tahun perkahwinan
KETIKA kemelut rumah tangga yang masih belum berkesudahan, pelakon Puteri Sarah tampil meluahkan rasa yang terbuku dalam hatinya menerusi lirik lagu Terus nyanyian Sarah Fazny dan Zayani.
Berkongsi mengenai pembabitannya sebagai penulis lirik, Sarah, 38, berharap karya ini dapat memberikan inspirasi kepada wanita lain yang melalui nasib sama untuk terus bangkit berdepan ujian.
“Lagu ini memang mengisahkan tentang apa yang terjadi kepada diri saya. Apa yang berlaku selama ini saya ceritakan dan terjermahkan menjadi sebuah karya yang terus mewakili isi hati saya.
Lagu Terus juga diharap dapat beri semangat buat wanita.
“Saya gembira karya ini akhirnya dapat menemui pendengar hari ini. Setidaknya mereka yang di luar sana yang senasib dengan saya dapat bangkit dan meneruskan kembali hidup seperti dulu.
“Sehebat mana pun kemelut yang berlaku, jangan sesekali meratapi apa yang berlaku. Saya mahu mereka yang senasib dengan saya bangkit dan teruskan kehidupan,” katanya kepada mStar.
Tambah isteri kepada pengarah Syamsul Yusof ini, dia juga memilih tarikh pelancaran lagu itu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia iaitu pada Rabu.
Malah, Hari Wanita Sedunia ini juga jatuh pada hari ulang tahun kesembilan perkahwinannya dengan Syamsul.
Biarpun status perkahwinannya dengan Syamsul masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah, Sarah berkata apa yang berlaku dalam rumah tangganya itu bukan alasan untuk dia terus bersedih.
“Saya mahu jalan terus dan tidak lagi mempedulikan apa sahaja kemelut yang berlaku. Sebagai wanita dan yang paling penting sebagai seorang ibu, saya harus terus kuat.
Kita ada masalah, ada juga jalan penyelesaian. Jangan sesekali patah semangat
“Saya harus bangkit daripada kesedihan dan meneruskan kehidupan. Bangkit bukan bermakna ingkar, tapi lebih kepada menyayangi diri sendiri dan tidak membiarkan diri dipijak.
“Kita ada masalah, ada juga jalan penyelesaian. Jangan sesekali patah semangat,” ujarnya.
Selain Sarah, lagu ini turut ditulis oleh Faizal Ulwi yang juga bertindak sebagai komposer.
Kemelut rumah tangga Sarah dan Syamsul belum berkesudahan.
Dalam pada itu, Sarah juga tampil menerusi video muzik lagu ini yang dilancarkan di saluran Youtube Indigital Music.
Pada Selasa, Sarah dan Syamsul hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi sebutan kes penceraian yang difailkan sebelum ini ini.
Syamsul bagaimanapun enggan menceraikan Sarah ketika kes tersebut dibicarakan di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas.
Untuk rekod, Syamsul dan Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.