Kontroversi lantikan Muhyiddin, Kadir Jasin anggap Ismail ketuai kerajaan ‘barang mainan’
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjadikan kerajaan seperti “barang mainan untuk bersuka-suka” menerusi beberapa tindakannya termasuk memilih Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri, kata A Kadir Jasin.
Wartawan veteran itu berkata hanya dalam tempoh 15 hari, Ismail membuktikan beliau tidak serius membangunkan sebuah pentadbiran berwibawa.
“Bekas Perdana Menteri yang mengaku dia hilang sokongan ahli Dewan Rakyat daripada gabungannya sendiri dilantik untuk memulihkan negara! Kegilaan apakah ini?
“Apa lagi kalau bukan tikus dibagi tugas memperbaiki labu. Tikus itu pula bukan sebarang tikus tapi tikus yang rosakkan labu. Sekarang dia diberikan tugas memperbaikki labu yang dirosakkannya itu,” kata Kadir di Facebooknya.
Kadir berkata Ismail sebelum ini bertindak melantik “kabinet kitar semula” dan bukan sahaja mengekalkan muka lama sebagai duta khas berstatus menteri yang membazir, malah menambah jumlah mereka.
“Ismail menjadikan kerajaan seperti barang mainan untuk bersuka-suka dan bagi mengambil hati Muhyiddin supaya kedudukannya sebagai Perdana Menteri selamat.
“Sangat jelas yang Ismail tidak ada sikit pun rasa hormat kepada rakyat jelata malah telah dengan sengaja mengecil-ngecilkan kepintaran mereka,: tambah beliau.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu memutuskan melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri.
MPN ditubuhkan Julai lalu semasa Muhyiddin menerajui kerajaan bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan strategi kawalan wabak Covid-19.
Ia dicanang sebagai badan yang dianggotai wakil sektor swasta, pakar industri, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan Malaysia keluar daripada pandemik secara sistematik dan selamat.
Bagaimanapun, Muhyiddin terpaksa meletak jawatan bulan lalu setelah 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya. Selain pimpinan Umno dan pembangkang, pelbagai pihak turut mengecamnya atas wabak Covid-19 yang semakin memburuk, meskipun negara diletakkan di bawah darurat.
Kadir berkata siri pelantikan oleh Ismail itu memperkukuhkan pendapat umum bahawa tiba masanya rakyat mendesak parti politik menampilkan calon muda dan berwibawa pada pilihan raya umum akan datang.
“Oleh sebab itulah daripada sekarang lagi kita wajib berkempen supaya lebih banyak calon baru, muda, wanita dan berwibawa dikemukakan. Kita tolak mana-mana parti yang tidak memenuhi ekspektasi kita,” katanya.
Sumber – FMT