Kos haji meningkat, keistimewaaan yang dinikmati pendeposit TH semakin terhakis

Kos haji meningkat, keistimewaaan yang dinikmati pendeposit TH semakin terhakis

Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan dua kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah yang pertama kali mengerjakan haji bermula tahun ini.

Memetik laporan FMT, dua kadar bayaran itu pertama kali diperkenalkan melibatkan bayaran jemaah haji bagi kumpulan B40 dan jemaah haji kumpulan bukan B40 susulan peningkatan kos haji antara RM1,000 hingga RM3,000.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Amrin Awaluddin berkata, bayaran sebanyak RM10,980 seorang perlu dibayar oleh jemaah daripada golongan B40, iaitu peningkatan sebanyak RM1,000 manakala bayaran sebanyak RM12,980 dikenakan bagi jemaah bukan B40, iaitu melibatkan peningkatan sebanyak RM3,000 berbanding tahun 2019.

“Bayaran haji jemaah muassasah kekal RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikan haji meningkat setiap tahun sehingga 103%,” katanya semasa sidang media di Menara Tabung Haji hari ini. Hadir sama Pengarah Eksekutif Haji TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Katanya, kadar bayaran yang dikenakan itu juga berikutan kos haji bagi tahun ini meningkat kepada RM25,540 seorang berbanding RM22,900 pada 2019.

Beliau berkata, sejak 2001 jemaah haji hanya membayar sebahagian daripada kos sebenar untuk menunaikan ibadat haji, manakala selebihnya ditanggung oleh TH melalui bantuan kewangan haji yang dijana daripada hasil pendapatan pelaburan.

“Pada tahun 2019 bayaran haji adalah RM9,980 (44%) manakala bantuan kewangan haji oleh Tabung Haji adalah sebanyak RM12,920 (56%) untuk seorang jemaah bagi mencukupkan kos haji sebenar RM22,900.

“Untuk tahun 2022, Tabung Haji menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah muassasah sebanyak RM25,540 seorang.

“Maka bagi jemaah muassasah kategori B40, bantuan kewangan haji oleh Tabung Haji adalah sebanyak RM14,560 seorang (57%), manakala jemaah muassasah kategori lain turut menerima bantuan sebanyak RM12,560 seorang (49%) berbanding RM12,920 seorang tahun 2019(56%),” katanya.

Amrin berkata, kenaikan kos tersebut adalah atas faktor peningkatan cukai nilai tambah (VAT) Arab Saudi yang dinaikkan daripada kadar 5% kepada 15% selain caj perlindungan insurans susulan pandemik Covid-19

Katanya, TH akan meneruskan bantuan kewangan haji dan menyerap kenaikan kos bagi jemaah Malaysia terutamanya bagi golongan B40 yang sudah tentu terkesan akibat Covid-19.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Malaysia diberikan 14,306 kuota haji bagi tahun ini, iaitu 45% daripada kuota tahunan biasa kerana kerajaan Arab Saudi menetapkan hanya sejuta jemaah haji untuk musim ini berbanding 2.5 juta orang pada 2019.

Dalam perkembangan sama Amrin berkata, agihan kuota jemaah haji akan dibuat berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat.

“Mengikut kiraan kita ada 60,000 lagi jemaah selepas tertangguh dua tahun (mengerjakan ibadat haji).

“Tidak ada kuota khas berdasarkan kategori,” katanya selain memaklumkan mana-mana bakal jemaah yang melakukan ujian PCR Covid-19 dengan fasilitis Kementerian Kesihatan (KKM) akan diberi pengurangan bayaran.