KP UMNO bangkit pertahan Cikgu Fadli

KP UMNO bangkit pertahan Cikgu Fadli

Pemuda Umno melihat pelbagai isu dibangkitkan seorang guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang tular di media sosial sejak semalam mempunyai asas dan wajar diberikan perhatian.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, silibus bagi sekolah rendah terlalu tinggi dan ia bukan saja memberi kesukaran kepada pelajar, malah guru dan ibu bapa.

“Apa yang dibangkitkan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini ada asasnya. Contohnya, isu silibus syok sendiri yang terlalu tinggi dan padat sebagaimana yang dibangkitkan beliau.

“Saya sendiri pernah pertikaikan untuk apa topik insurans atau takaful dibincangkan untuk murid darjah enam di bawah subjek Matematik? Topik ini pelajar sekolah menengah pun belum tentu faham,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Malam tadi, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Beliau yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan dirinya boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menyifatkan topik berkaitan takaful tidak sesuai diajar di peringkat sekolah.

“Saya hampir 10 tahun mengajar subjek kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan kepada pemain industri perbankan, takaful dan kewangan dulu pun, apabila masuk bab takaful bukan mudah,” katanya, memetik Harian Metro.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi apabila anaknya yang berada di tahun enam turut berdepan masalah memahami subjek matematik.

“Isteri saya juga seorang profesor dalam bidang Takaful di UIAM pun jenuh nak terangkan kepada anak kami darjah 6 bila balik rumah tanya pasal insurans atau takaful dalam subjek matematiknya.

“Apakah jaminan cikgu di sekolah juga faham mengenainya,” katanya.

Susulan hantaran dimuat naik Mohd Fadli, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin turut menyatakan hasrat berjumpa guru berkenaan.

Katanya, beliau memaklumkan ingin mengetahui lebih lanjut perkara dibangkitkan guru terbabit.