KPM diminta tarik balik kelonggaran pakai baju sukan menjelang sesi persekolahan 2024 – NUTP

KPM diminta tarik balik kelonggaran pakai baju sukan menjelang sesi persekolahan 2024 – NUTP

 

Pemakaian pakaian seragam sekolah di Malaysia dikuatkuasakan sejak 1970 adalah untuk menggalakkan rasa kesaksamaan dalam kalangan pelajar.

Pada masa sama, ia dapat menyelesaikan masalah yang mungkin timbul daripada pilihan pakaian atau fesyen tidak sesuai.

Namun, sejak kebelakangan ini ramai ibu bapa yang memilih untuk meneruskan pemilihan baju sukan ke sekolah kerana lebih cepat, mudah dan sesuai dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini.

Untuk rekod, kelonggaran memakai baju sukan ke sekolah telah diberikan sejak Oktober 2021 selepas Covid-19 melanda.

Walaupun begitu, perkara tersebut dilihat semakin memberi impak teruk selepas timbulnya isu keterampilan dan disiplin diri murid. Hal ini menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan guru, orang awam dan ibu bapa yang masing-masing mempunyai pandangan sendiri.

Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, ia merupakan satu isu penting yang juga sudah diutarakan dan disuarakan oleh para pentadbir sekolah.

Fouzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar status pakaian kemeja-T atau pakaian sukan itu ditarik semula kerana bimbang ia akan menjejaskan imej pelajar itu sendiri.

“Ini kerana, bagi mereka, guru dan murid semakin meninggalkan pakaian rasmi sekolah sekali gus menimbulkan isu keterampilan dan disiplin murid dan guru.

“Pihak sekolah wajar mengembalikan semula etika pemakaian seragam kerana dengan keadaan sekarang yang sudah kembali normal, tiada keperluan lagi untuk pelajar atau murid berpakaian sukan ke sekolah,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, ibu bapa juga sedang menunggu ketetapan dalam status pakaian sekolah bagi sesi persekolahan pada 2024.

Bukan itu sahaja, Fouzi berkata, isu tersebut sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan kepada mereka dalam membuat keputusan membeli pakaian sesuai untuk anak-anak ke sekolah.

“Ibu bapa keliru sama ada perlu lagi atau tidak membeli pakaian seragam sekolah kerana mereka tidak mahu pakaian yang sudah dibeli tidak digunakan sehingga menyebabkan pembaziran,” katanya lagi.