KPU rasmi isytihar Prabowo sebagai Presiden Indonesia dipilih

KPU rasmi isytihar Prabowo sebagai Presiden Indonesia dipilih

 

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) secara rasmi akan mengisytiharkan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia dipilih, dalam satu majlis pada hari ini, seperti yang dijadualkan.

Pengumuman Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari itu dibuat beberapa jam selepas Mahkamah Perlembagaan menolak usul undang-undang oleh calon yang kalah, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang mencabar kemenangan Prabowo.

“Berdasarkan keputusan mahkamah pada 22 April, kita beralih ke fasa pemilihan seterusnya, iaitu mengisytiharkan presiden dan naib presiden yang dilantik, pada Rabu pukul 10 pagi di ibu pejabat KPU,” katanya, yang dipetik Jakarta Globe.

Prabowo dan calon gandingannya, Gibran Rakabuming Raka, memenangi pilihan raya dengan 58 peratus undi, menurut pengiraan kebangsaan yang diumumkan pada 20 Mac.

Namun, perayaan kemenangan itu ditangguhkan, berikutan cabaran undang-undang daripada calon saingan, Anies dan Ganjar, yang menuntut supaya keputusan itu dibatalkan.

Mereka mendakwa berlaku penipuan pengundian secara meluas, adanya pilih kasih, dan sokongan pemerintah yang dikatakan memihak kepada Prabowo dan pasangannya, Gibran, yang juga anak sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Dalam undian 5-3 pada 22 April, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kedua-dua, Anies dan Ganjar gagal mengemukakan bukti yang kukuh, dan saksi yang boleh dipercayai, untuk menyokong dakwaan mereka, sekali gus menolak usul mereka secara keseluruhan.

Lima daripada lapan hakim memutuskan untuk menentang cabaran tersebut, dan tiga hakim iaitu Saldi Isra, Enny Nurbaningsih, dan Arief Hidayat menawarkan pendapat yang berbeza.

Hakim Anwar Usman, bapa saudara Gibran, tidak mengambil bahagian dalam keputusan itu kerana bimbang konflik kepentingan.

Dalam pada itu, Jokowi akan memulakan peralihan kepimpinan kepada calon presiden, Prabowo berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan itu.

“Pemerintah bersedia dan menyokong penuh peralihan kepimpinan kepada presiden dan timbalan presiden,” kata penyelaras kakitangan khas presiden, Ari Dwipayana.

Beliau berkata, Jokowi menghormati keputusan mahkamah berhubung pertikaian keputusan pilihan raya presiden, kerana keputusan itu adalah muktamad dan mengikat.

Selain bersiap sedia menghadapi peralihan presiden, pemerintah komited melaksanakan semua agendanya, sehingga tamat penggal presiden Jokowi pada Oktober 2024, kata Ari, dipetik agensi berita rasmi Antara.

Sementara itu, presiden yang dipilih, Prabowo melahirkan rasa lega berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 22 April, yang menolak usul membatalkan keputusan pilihan raya.

“Kami berterima kasih atas kesimpulan prosiding di Mahkamah Perlembagaan, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menyokong saya, dan juga kepada Mahkamah Perlembagaan atas usaha gigih mereka,” katanya.

Keputusan itu membuka jalan kepada Prabowo untuk menumpukan perhatian kepada peralihan kuasa daripada Jokowi, yang dijadualkan pada 20 Oktober, dan memulakan pembentukan Kabinet bersama pasangannya, Gibran.

“Kami bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk masa depan,” kata Prabowo, yang dipetik Jakarta Globe.