Kreatif! Peniaga makanan promote set nasi Anwar Ibrahim, Mat Sabu dalam hidangan Menu Rahmah

Kreatif! Peniaga makanan promote set nasi Anwar Ibrahim, Mat Sabu dalam hidangan Menu Rahmah

 

Seorang peniaga gerai makanan mengambil insiatif lain daripada lain apabila memperkenalkan set makanan Menu Rahmah dengan menggunakan nama beberapa menteri Kerajaan Perpaduan.

Dalam usaha menarik minat pelanggan, Warong Pecel Lele di Cyberjaya ini menamakan set hidangannya sempena nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga tidak terlepas dinamakan dalam set Menu Rahmah.

Set hidangan ini ditetapkan mengikut hari antaranya set Anwar Ibrahim (Isnin); Mohamad Sabu (Selasa); Anthony Loke (Rabu); Datuk Seri Salahuddin Ayub (Khamis); Rafizi Ramli (Jumaat); dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Sabtu).

Lapor Harian Metro, set Perdana Menteri terdiri daripada nasi putih, ayam kari, sayur kacang dan sambal atau soto ayam; set Mohamad (nasi putih, ayam masak merah, sayur taugeh dan sambal atau lontong sayur);

Manakala set Anthony (set pecel ayam atau gado gado); dan set Salahuddin adalah (set pecel lele atau nasi putih, ayam goreng crispy dan sayur kangkung);

Tidak ketinggalan, warung ini juga menyediakan set Rafizi (nasi putih, ayam masak kurma, sayur campur dan sambal atau mi ayam) dan set Azalina (nasi putih, ayam masak merah kicap, sayur bayam dan sambal).

Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak bulan lalu terus mendapat sokongan peniaga kedai makan dan restoran.

Menurut pemilik warung berkenaan, Muhammad Syafiq Saifullah, 21, ini adalah cara untuknya menunjukkan sokongan terhadap inisiatif Menu Rahmah, yang bertujuan menyediakan makanan murah pada harga RM5 dan ke bawah untuk rakyat Malaysia.

Bahkan katanya, ketika mendengar usaha kerajaan melaksanakan Menu Rahmah, dia merasakan ini adalah jalan yang terbaik untuk membantu orang ramai menjimatkan kos makanan.

“Kami mempunyai pelbagai jenis set dan ia bukan hanya terhad kepada satu menu. Menamakannya sempena nama menteri hanyalah untuk menambahkan sedikit keceriaan kepadanya,” katanya.