Krisis diplomat UAE, Saifuddin ambil sikap kunci mulut

Krisis diplomat UAE, Saifuddin ambil sikap kunci mulut

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah enggan mengulas status dua diplomat yang dipanggil pulang atas kegagalan menyelaras urusan pentadbiran dan logistik ketika kunjungan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu.

“Saya tidak mahu menambah apa-apa lagi kepada kenyataan kementerian sebelum ini,” katanya selepas sidang media pelantikan jawatankuasa belia untuk hubungan antarabangsa dan diplomasi Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pada 11 April lalu, Wisma Putra mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan dua diplomat berkenaan dipanggil pulang.

Katanya, Duta Besar Malaysia ke UAE, Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai, Hasril Abdul Hamid, gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan perdana menteri, menyebabkan beliau terpaksa menunggu lama bagi mendapat pelepasan pasport dan imigresen di lapangan terbang.

Menurut kenyataan itu, keputusan memanggil pulang dua pegawai berkenaan adalah amalan biasa dalam kementerian itu dan dianggap “bukan luar daripada kebiasaan”.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Shafiq Abdullah berkata, dua diplomat yang dipanggil pulang itu kekal berada di Wisma Putra.

Katanya, mereka akan diberikan penugasan baharu dan bukan di “pool” Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti didakwa beberapa laporan.

Kemudian, satu rakaman audio tular mendakwa berlaku peningkatan kekosongan jawatan membabitkan misi Malaysia di luar negara.

Mengesahkan perkara itu, Saifuddin berkata, terdapat 20 kekosongan jawatan ketika ini.

“Kementerian sedang memuktamadkan calon dan kami berharap kekosongan itu akan diisi secepat mungkin.”