Krisis Melaka: Zahid tarik sokongan boleh kenapa dua ADUN UMNO tak boleh?
Tidak ada isu semasa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap kerajaan pusat yang sebelum ini juga diterajui bersama, tetapi kini senario sama berlaku di Melaka pula.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO tersebut, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) didakwa sudah gugur keahlian kerana menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka, bagaimanapun Zahid yang menarik sokongan tidak pula dikenakan tindakan sama.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kedua-dua mereka secara automatik gugur keahlian apabila secara terbuka menyatakan tidak lagi bersama kerajaan negeri yang dipimpin oleh Sulaiman awal hari ini.
“Apabila dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama dengan parti tidak membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,” katanya dalam sidang media petang tadi.
Namun, Rauf terlupa berhubung tindakan Zahid yang sebelum ini bersama 14 Ahli Parlimen (MP) UMNO lain yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakan jawatannya kerana sudah hilang majoriti.
Zahid ketika itu menjadi pencatur utama dalam gerakan menumbangkan kerajaan PN walhal UMNO ketika itu juga merupakan salah satu parti komponen dalam pembentukan kerajaan di Putrajaya.
Jika dua ADUN UMNO Melaka itu digugurkan keahlian secara automatik, mengapa Zahid tidak pula dikenakan tindakan sama. Adakah ini satu lagi ‘double standard’ melibatkan pemimpin atasan UMNO yang boleh membuat keputusan sesuka hati mengikut selera politik mereka?
Bukan itu sahaja, Zahid yang sudah terbukti bersama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merancang komplot juga tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin parti.
Terdahulu, Idris yang juga bekas Ketua Menteri (KM) Melaka dan Nor Azman bersama dua lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan KM Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa serta-merta.
Dua lagi ADUN ialah Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Sumber – Agenda Daily