KTMB akhirnya bagi penjelasan selepas heboh penganjuran parti atas kereta api pertama di Asia Tenggara

KTMB akhirnya bagi penjelasan selepas heboh penganjuran parti atas kereta api pertama di Asia Tenggara

 

Selepas heboh penganjuran parti di atas kereta api, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, pihaknya akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (charter train).

Menerusi satu kenyataan, KTMB memaklumkan pihak penyewa berkenaan mematuhi syarat ditetapkan oleh pihaknya.

“KTMB menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami,” menurut KTMB.

“Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,” katanya.

Reaksi KTMB itu susulan tular klip video sekumpulan lelaki dan perempuan menari dalam tren yang diuar-uarkan sebagai festival hiburan pertama di Asia Tenggara yang diadakan di atas kereta api.

Pesta hiburan sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’ di tren sewa khas itu berlangsung semasa perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, 16 Mei lalu.

KTMB dalam kenyataan sama turut memaklumkan pihaknya memperkenalkan perkhidmatan ‘charter train’ sejak September 2021 kepada syarikat atau individu yang berminat untuk membuat sewaan tren khas.

“Perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan,” menurut kenyataan itu lagi.