“Maka bagi saya tak ada erti saya hadir undi belanjawan yang tidak sah, yang dikemukakan oleh kerajaan yang tidak sah.

“Dari segi perlembagaan itulah dia,” katanya dalam acara anjuran Majlis Profesor Negara itu.

Dia menjawab soalan penonton yang mempersoalkan mengapa dia tidak hadir dalam undian belanjawan, sehingga undian terakhir pada bacaan ketiga.

Meskipun berada dalam parti kerajaan, Tengku Razaleigh tidak menyertai mana-mana undi belah bahagi sepanjang belanjawan dibahaskan di peringkat jawatankuasa, dan ketika ia dibaca untuk bacaan ketiga.

Sebelum Dewan Rakyat bersidang 2 Nov lalu, Tengku Razaleigh pada Sep ada menghantar surat menggesa speaker Dewan Rakyat membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk dibahaskan.

Dia pada Nov turut menghantar surat mengajak ahli-ahli parlimen supaya menyokong usul “undi tidak percaya” berkenaan.

Dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, 25 usul tidak percaya dan dua usul percaya terhadap perdana menteri telah dikemukakan dan disenaraikan, tetapi tidak didahulukan dalam aturan mesyuarat.

Dua usul undi percaya bagi menyokong Muhyiddin datang daripada Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh).

Usul undi tidak percaya pula adalah daripada Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) serta empat penyokongnya, tujuh ahli parlimen Warisan, 11 ahli parlimen Amanah, seorang dari PKR dan seorang dari DAP.

Sejak mengambil alih kerajaan daripada PH pada hujung Feb lalu, sokongan majoriti yang dimiliki Muhyiddin memang menjadi pertikaian banyak pihak.

Di sebalik spekukasi kencang bahawa ia bakal ditolak di peringkat dasar menerusi undi belah bahagi oleh pembangkang dan dikatakan bakal dibantu oleh ahli parlimen kerajaan yang berpaling tadah, belanjawan itu sebaliknya diluluskan hanya menerusi undian suara.

Kerajaan juga menang semua undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga, dengan undian paling rapat dicatatkan semasa bacaan ketiga yang menyaksikan 111 ahli parlimen menyokong, 108 menolak belanjawan.

Seorang ahli parlimen berkecuali iaitu Tengku Razeleigh.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556448