Kuat sangat membelit, Hadi disekolahkan budak Muda

Kuat sangat membelit, Hadi disekolahkan budak Muda

Dulu lain, sekarang lain.

Tahun 2019, pimpinan PAS dan Ahli Parlimen PAS boleh menyokong usul UNDI18 dan bersetuju untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Waktu itu PAS pembangkang.

Tapi tahun 2021 apabila PAS sudah menjadi kerajaan, pimpinan PAS pula cuba untuk melengah-lengahkan perlaksanaan UNDI 18? Menteri Parlimen dan Undang-Undang juga datang dari PAS. Tahun lepas pun masih berjanji yang UNDI 18 ini boleh dibuat selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Tiba-tiba keluar alasan ada PKP, jadi kerja pun boleh siap lambat dan sebagainya.

Tiba-tiba juga, Tuan Guru Hadi pula kata pengundi jangan dinilai menerusi umur seolah-olah Parlimen tidak pernah bahas dan semua setuju bahawa membuang undi itu adalah hak yang perlu diberikan kepada semua orang muda berusia 18 tahun ke atas.

Saya pun tidak mahu ulas lagi isu “kenapa 18 tahun dah boleh mengundi”, “orang muda usia 18 tahun matang atau tidak”, “orang muda mengundi tak fikir panjang”. Sebab tahun 2019, semua hal ini dah dibincangkan di dalam Dewan Rakyat dan semua dah setuju dengan UNDI 18.

Kalau PAS masih lagi banyak dalih dengan isu umur, saya pun boleh sebut yang orang muda berusia 13 tahun pun sudah boleh jadi ahli PAS. Tiba-tiba dalam hal mengundi, usia 18 tahun pun belum cukup.

PAS tidak boleh bersikap selamat dan memilih-milih mana yang beri kepentingan kepada PAS sahaja. Sebagai kerajaan, PAS kena hormat dan angkat suara Dewan Rakyat, bukan mempermainkan keputusan Dewan Rakyat.

Syed Saddiq