Kudung kaki & tangan lepas makan ikan tilapia separuh masak

Kudung kaki & tangan lepas makan ikan tilapia separuh masak

 

Seorang ibu dari Amerika Syarikat kehilangan keempat-empat anggota badannya (kaki dan tangan) selepas mengalami jangkitan kuman akibat memakan ikan tilapia yang dipercayai kurang masak.

Laura Barajas, 40, dari San Jose, California, menjalani pembedahan kecemasan Rabu lalu selepas dimasukkan ke hospital selama lebih sebulan ketika dia melawan jangkitan tersebut.

Barajas, ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, berasa sakit beberapa hari selepas dia memasak dan memakan ikan yang dibelinya dari pasar tempatan pada akhir Julai lalu, menurut rakannya, Anna Messina.

“Dia hampir kehilangan nyawanya. Dia menggunakan alat pernafasan,” kata Messina kepada sumber.

“Dia koma akibat ubat. Jarinya hitam, kakinya hitam, bibir bawahnya hitam. Dia mengalami sepsis dan buah pinggangnya gagal berfungsi.”

Jelas Messina lagi, dia percaya jangkitan itu disebabkan oleh Vibrio Vulnificus, bakteria yang telah diberi amaran oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada 1 Sept.

Menurut CDC, orang ramai boleh dijangkiti Vibrio Vulnificus dengan mengambil makanan laut mentah, kurang masak atau mendedahkan luka kepada air laut.

Screenshot 2023 09 19 174319

Kira-kira 150 hingga 200 kes jangkitan dilaporkan setiap tahun di Amerika Syarikat, dan sekitar satu daripada lima orang yang dijangkiti mati, tambah CDC.

Messina berkata dia dan keluarga Barajas masih berusaha untuk mengetahui apa yang berlaku, sambil menambah bahawa dia berharap orang ramai akan menyedari betapa berharganya nyawa.

“Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sekarang kerana ia boleh diambil dengan begitu cepat, dengan begitu mudah,” tambahnya.

Sepanjang pengalaman pahit itu, pasangan Barajas, Jose Valdez, berada di sisinya. Mereka sekeluarga kini sedang giat membuat kutipan amal untuk membiayai kos perubatan dan rawatan.