Kulasegaran dedah Sivakumar lantik pegawai yang pernah dipecat sebab ‘banyak salah laku’

Seorang daripada lima pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang ditamatkan kontrak susulan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa, telah pun dipecat dari jawatan yang sama 15 tahun lalu ekoran “banyak salah laku”.
Bekas Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata pegawai terbabit juga adalah lantikan politik dan bekerja di pejabatnya pada 2008 selaku ahli parlimen Ipoh Barat.
Ahli parlimen DAP itu berkata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, yang juga daripada parti yang sama, pada masa itu adalah setiausaha politiknya dan oleh itu dia mengetahui punca pegawai itu dipecat daripada jawatan terbabit.
“Jadi, apabila saya jumpa dia (Sivakumar selepas pelantikan), saya tanya: “Mengapa anda ambil pegawai yang telah kami singkirkan? Proses membuat keputusan (dalam pelantikan) salah.
“Dia (Sivakumar) ambil risiko yang besar. Saya terpaksa lepaskan orang itu kerana dia terlibat dalam banyak salah laku, dan ia adalah keputusan serta-merta pada 2008,” kata Kulasegaran seperti dipetik The Vibes.
“Saya terkejut kerana pegawai itu berada dalam kerajaan, tetapi kini mereka telah ditamatkan perkhidmatan.
“Apabila Sivakumar melantik pegawai itu, dia tidak pernah berunding dengan saya. Tetapi menteri mempunyai prerogatifnya sendiri dan saya tidak boleh campur tangan,” katanya lagi.
Sementara itu, Kulasegaran berkata masih terlalu awal untuk menyingkirkan Sivakumar sebagai menteri sehinggalah SPRM mengesahkan ada salah laku dibuat.
“Masih awal untuk mengambil tindakan terhadapnya…
“Mereka (SPRM) perlu keluar (dengan dapatan daripada siasatan) kerana ia adalah perkara yang sangat mendesak yang melibatkan pendapat dan sentimen awam dan mengganggu keseluruhan rentak kementerian,” kata Kulasegaran.
Awal bulan ini, Malaysiakini melaporkan lima pegawai menteri sumber manusia itu ditamatkan perkhidmatan mereka berkuat kuasa serta-merta, manakala seorang lagi dipindah ke Jabatan Perkhidmatan Awam.
Kesemuanya dilantik oleh Sivakumar.
Ketika itu, sumber berkata sebahagiannya dipecat ekoran siasatan SPRM manakala yang lain kerana prestasi kerja yang tidak baik.
Sivakumar mengesahkan pemecatan itu dan menjelaskan ia bagi memastikan kementerian dapat terus berfungsi dengan baik.