Kuliah di Selangor dibatalkan, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan apa yang berlaku

Kuliah di Selangor dibatalkan, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan apa yang berlaku

Pada minggu lalu kisah kuliah Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Selangor terpaksa dibatalkan dan berpindah ke Kuala Lumpur telah menjadi pertikaian ramai. Pembatalan itu dibuat apabila pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas itu tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Dalam satu sedutan video rakaman kuliah yang berlangsung di Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang dimuat naik pada TikTok baru-baru ini, UAI tampil memberikan penjelasan sebenar apabila diajukan soalan mengenai pembatalan kuliah di Selangor itu.

“Macam-macam dia (netizen) komen. Dia kata kita langgar negeri orang, masjid tak reti bahasa, nak langgar JAIS, nak derhaka sultan. Apa benda ini?” kata UAI yang berasa kesal dengan tohmahan yang dilemparkan kepada dirinya.

@lons_radokifz

Semoga ustaz dipermudahkan segala urusan🤲#uai #kuliahmagrib #lonsradokifz #fyp #insanpendosa #fypシ

♬ original sound – YB.Lons Radokifz – YB.Lons Radokifz

Menurut UAI, beliau sudah cukup maklum dengan peraturan untuk menyampaikan kuliah di negeri Selangor, sejak zaman Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan selama 22 bulan.

“Kita sudah hentikan berceramah di negeri Selangor sejak sekian lama. Cuma masjid di Bukit Jelutong minta juga kita untuk berceramah di tempat mereka.

“Kami kata boleh, sediakan surat sokongan. Barulah kami boleh pergi dan mohon tauliah sementara untuk malam itu sahaja (malam acara kuliah). Mereka (pihak masjid) sudah selesaikan semua benda, tapi dibatalkan. Rayuan juga telah dibuat tetapi tetap ditolak,” terang UAI.

Tambahnya lagi, beliau akur dengan keputusan itu dan berpindah ke sebuah masjid di Kampung Pandan dan semuanya berjalan dengan lancar. Namun, UAI berasa pelik dengan sesetengah pihak yang ‘koyak’ dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada dirinya.

Beliau turut bersetuju dengan pelaksanaan peraturan di mana penceramah agama perlu mempunyai tauliah kerana ia dibenarkan dalam hukum syarak.

“Ini kerana ia dapat menghalang daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat secara terbuka. Memang betul, dibolehkan,” terang UAI.

Sebelum mengakhiri soalan yang diajukan, penceramah itu menyeru orang ramai yang mungkin satu hari nanti bakal menjadi pemimpin dan memegang kuasa, untuk gunakan kuasa tersebut untuk mempermudahkan dan memperluaskan urusan penyebaran ilmu agama dan menutup pintu maksiat sepenuhnya.

Dalam pada itu, di ruangan komen video TikTok tersebut, orang ramai mendoakan UAI agar diberikan kesihatan kerana daripada penyampaianya pada malam semalam beliau nampak kurang sihat dan memberikan kuliah dengan suara serak.