Kumpulan Azmin tak relevan dalam Kerajaan Kedah – MIC

Kumpulan Azmin tak relevan dalam Kerajaan Kedah – MIC

Pengerusi MIC Kedah S Ananthan meminta kerajaan negeri mengkaji semula kaedah pengagihan jawatan selepas kumpulan penyokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali – dikenali sebagai Penggerak Komuniti Negara (PKN) – menyertai Bersatu.

Kata Ananthan sebenarnya PKN itu tidak lagi relevan untuk diberi tempat dalam kerajaan Kedah terutama selepas Azmin menyertai parti yang diterajui Muhyiddin Yassin itu.

“Maka, jawatan-jawatan yang diberikan kepada kumpulan mereka (PKN) perlu di kaji semula,” katanya kepada Malaysiakini.

Ananthan berkata demikian ketika mengulas kumpulan PKN yang diberikan tempat dalam kerajaan negeri yang kini diterajui PAS.

Disebabkan perkembangan baru termasuk menyaksikan penyokong Azmin menyertai Bersatu maka kumpulan PKN dianggap tidak lagi memerlukan kuota dalam kerajaan Kedah.

Untuk rekod PKN merupakan pertubuhan yang menyokong Azmin dan bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah sebelum ini. Ia asalnya diramalkan akan didaftarkan sebagai parti politik.

Di sebalik jangkaan itu Azmin dan kumpulannya menyertai Bersatu pada Ogos lalu bersama beberapa pertubuhan lain yang dikaitkan dengannya, seperti Nation of Women (NOW), Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara.

Penyokong bukan Melayu pula menganggotai Bersatu sebagai ahli bersekutu.

Namun, di Kedah PKN – juga dikenali sebagai ‘bekas PKR’ – masih berfungsi sebagai blok ketiga dan meminta jawatan tambahan selain apa yang diperuntukkan kepada Bersatu.

Mahu kerusi lebih banyak

Contohnya ketika kerajaan Perikatan Nasional Kedah ditubuhkan, mereka mendapat 35 tempat sebagai ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kemudian mencetuskan rasa kurang senang BN negeri.

Selain itu, difahamkan juga mereka menuntut dua kerusi DUN di Kedah untuk ditandingi pilihan raya umum (PRU) akan datang. Ia merupakan kerusi tambahan daripada empat kerusi yang dipohon Bersatu sebelum ini.

Bagaimanapun, tuntutan mereka tidak disenangi oleh BN. https://www.malaysiakini.com/news/530024- TIDAK SETUJU

Menurut Ananthan dengan 35 tempat dalam PBT Kedah ketika ini, Bersatu pula mendapat 48 tempat menjadikan jumlah keseluruhan ialah 83 orang berbanding PAS yang hanya ada 60 kerusi walaupun menjadi ketua kerajaan.

Untuk bahagian BN pula, katanya, hanya ada 50 kerusi dan daripada jumlah itu MIC mendapat empat tempat.

“Begitu juga jawatan dalam badan baru Jawatankuasa Penggerak Komuniti Tempatan (JPKT) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahaan dan Kerajaan Tempatan. Satu pun tidak diberikan kepada MIC.

“Jadi, MIC mahu kerajaan negeri kaji semula hal ini. Kami mahu diberikan 13 kerusi untuk PBT seperti zaman BN, manakala untuk JPKT kami mahu sekurang-kurangnya 30 kerusi,” katanya.

Ananthan juga memberitahu MIC Kedah bercadang bertanding di tiga kerusi DUN – iaitu Bukit Selambau, Sidam dan Kulim – serta parlimen Padang Sedai pada PRU ke-15.

“Namun, kami akan menghormati sebarang keputusan muktamad oleh pucuk pimpinan MIC,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dijatuhkan melalkui tindakan empat Adun Bersatu dan dua PKR berpaling tadah dengan memberikan sokongan kepada BN serta PAS pada Mei lalu.

Mereka kini menguasai 23 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah itu, PAS menguasai 15 kerusi, diikuti Bersatu (empat), dan Umno serta bebas masing-masing dua kerusi.

Untuk rekod, pada PRU ke-14 MIC bertanding di Bukit Selambau dan Lunas.

Sumber : Malaysiakini