Kutip sisa tinggalan UMNO, PKR dijangka luluskan penyertaan Zahidi bersama 100 penyokong setianya

Kutip sisa tinggalan UMNO, PKR dijangka luluskan penyertaan Zahidi bersama 100 penyokong setianya

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin mendakwa dia dan penyokongnya akan mengemukakan permohonan mereka untuk menyertai PKR pada 4 Februari ini.

Katanya, dia akan disertai bersama kira-kira 100 penyokong yang kini adalah ahli Umno Bahagian Padang Besar.

“Dengan saya bakal menyertai PKR secara rasmi pada 4 Februari ini bersama 100 ahli Umno Bahagian Padang Besar, dijangka banyak cawangan parti itu di Padang Besar yang bakal terbubar kelak.

“Ramai orang tanya saya macam mana hendak masuk PKR, termasuk sebilangan pemimpin Umno Pusat. Ada juga antara mereka hendak masuk PN (Perikatan Nasional),” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian, hari ini.

Keahlian Umno, Zahidi, 62, gugur apabila pada November tahun lalu dia bertanding di kerusi Padang Besar sebagai calon bebas. Zahidi bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi semasa bersama Umno dan hilang wang pertaruhannya.

Permohonannya untuk menyertai PKR dibuat ketika Umno baru-baru melakukan “pembersihan” dalam parti itu.

Terbaru, minggu, lalu kepimpinan parti memecat Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Umno Selangor Noh Omar.

Umno juga menggenakan penggantungan enam tahun ke atas Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Shahril Sufian Hamdan, Ketua Umno Bahagian Tebrau Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Sharif.