Kutipan lebih RM50 juta, rakyat Kelantan berpeluang tonton ‘Mat Kilau’ di Netflix

Kutipan lebih RM50 juta, rakyat Kelantan berpeluang tonton ‘Mat Kilau’ di Netflix

Memang luar biasa. Mana tidaknya, hampir dua minggu filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan sudah berjaya mengutip RM50.1 juta pada hari ke-12 tayangannya.

Memetik Harian Metro, pengarahnya Syamsul Yusof berkata filemnya itu boleh mencatat kutipan maksimum RM60 juta walaupun ada mendakwa ia boleh mengutip RM80 juta hingga RM100 juta.

Bagaimanapun, Syamsul berkata agak mustahil kerana setakat ini, kutipan paling tinggi di pawagam Malaysia ialah filem Avengers : Endgame sebanyak RM87 juta yang ditayangkan pada 2019.

“Sejujurnya untuk Mat Kilau pergi ke situ agak mustahil. Lagipun saya tak letak sasaran jumlah kutipan sebanyak itu.

“Namun, setakat ini dengan kekuatan filem itu dan pawagam dijangka menayangnya untuk tempoh sehingga dua bulan, saya anggarkan ia mampu mencatat kutipan maksimum RM60 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul turut meluahkan rasa syukur filemnya itu berjaya mencipta sejarah sebagai filem tempatan paling laris menewaskan Munafik 2.

“Syamsul Yusof tewaskan Syamsul Yusof. Syukur. Ia memang berbaloi. Saya tak nafikan saya memang ‘mental’ nak siapkan filem ini,” katanya.

Sementara itu, Syamsul berkata filem Mat Kilau juga bakal ditayangkan di Netflix selepas tamat tayangan di pawagam nanti namun masih dalam perbincangan lagi.

“Pihak penerbit sudah mengadakan perbincangan awal dengan Netflix. Namun, tarikh tayangannya mungkin lambat lagi,” katanya.