KWSP 2.0 bersasar: Pencarum ada baki yang cukup untuk buat pengeluaran

KWSP 2.0 bersasar: Pencarum ada baki yang cukup untuk buat pengeluaran

 

Info mengenai artikel KWSP 2.0 ini telah dipetik melalui akhbar Berita Harian dan Harian Metro.

Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat untuk mengeluarkan semula akaun secara bersasar, mempunyai baki akaun yang mencukupi untuk dikeluarkan.

Ia berdasarkan kajian Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mendapati 79.6 peratus daripada 136,137 pencarum KWSP mempunyai baki Akaun Satu melebihi RM10,000, manakala selebihnya kurang daripada RM10,000.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, kajian itu dijalankan selama 12 hari bermula 20 Disember lalu, bagi menyediakan data sokongan tambahan bagi tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.

“Daripada tinjauan ini, ternyata pencarum KWSP yang sangat memerlukan pengeluaran KWSP 2.0 mengikut sasaran, mempunyai baki yang mencukupi untuk membuat pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PGIRM Membawa Suara Rakyat

Sebelum ini, PGIRM dilaporkan membawa suara 270,000 pencarum yang meminta kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan pengeluaran KWSP 2.0 mengikut sasaran.

Permohonan daripada pencarum diterima melalui borang dalam talian dari Julai hingga November lalu, antara lain berikutan tekanan hidup susah akibat inflasi, pengurangan pendapatan yang tidak seimbang dan tunggakan hutang selepas pandemik.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur pada Januari 2023, sudah pasti memberi kesan lebih buruk kepada rakyat.

“PGIRM percaya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar dan prihatin terhadap suara dan kesusahan rakyat.

“Justeru, kami berharap diberi peluang untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi memberi penjelasan terperinci mengenai permintaan pengeluaran sasaran KWSP 2.0, dalam masa terdekat.

“Rakyat khususnya penyumbang sudah ditimpa kesusahan, malah ada segelintir daripada mereka yang sudah dan merancang untuk mengambil ‘jalan pintas’ untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.