KWSP raih untung RM20 bilion suku pertama 2021 disebalik keengganan Zafrul benarkan pemberian i-Sinar 2.0

KWSP raih untung RM20 bilion suku pertama 2021 disebalik keengganan Zafrul benarkan pemberian i-Sinar 2.0

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meskipun berdepan dengan persekitaran tidak menentu berikutan COVID-19 yang masih berlarutan.

Ekuiti, yang menyumbang 74 peratus kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, manakala instrumen pendapatan tetap pula menyumbang sebanyak RM3.92 bilion.

Kelas aset hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang pula masing-masing menyumbang RM710 juta dan RM380 juta.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang menjadi amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat, pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM19.24 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata prestasi memberangsangkan pada suku pertama disokong oleh pemulihan ekonomi global bermula sejak separuh kedua tahun lalu.

Katanya, KWSP yakin bahawa pelaksanaan program vaksinasi serta sokongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

“Walaupun terdapat kebimbangan berkaitan inflasi, ia tidak menjejaskan trend positif dalam pasaran ekuiti. KWSP mengambil peluang untuk menstruktur pegangan portfolio ekuiti kami kepada saham yang pada asasnya kuat tetapi dinilai rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, yang mana 36 peratus diperuntukkan dalam pasaran luar negara.

Diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, pasaran dan mata wang terus menjana pulangan yang stabil dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP.

Bagi suku tahun pertama, pelaburan luar negara KWSP menyumbang sebanyak RM11.15 bilion atau 58 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutama oleh ekuiti luar negara.

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46 peratus daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 44 peratus, sementara hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing merangkumi empat dan enam peratus daripada pelaburan.

Portfolio ini mencerminkan strategi diversifikasi KWSP untuk memastikan pulangan optimum dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang terbukti berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, terutama semasa krisis COVID-19.

Mengulas mengenai kemudahan i-Sinar dan i-Lestari, Amir Hamzah berkata, sejumlah RM50.93 bilion sudah dikeluarkan daripada RM57.97 bilion pengeluaran i-Sinar yang diluluskan bagi 6.49 juta pemohon, manakala RM20.80 bilion dibayar kepada 5.27 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari setakat ini.

Katanya, pendekatan pelaburan berdisiplin dan pengurusan kecairan mantap oleh KWSP yang berpandukan SAA berjaya mengurangkan impak daripada jumlah pengeluaran yang besar ke atas portfolio KWSP, sekali gus membolehkan prestasi kukuh dalam waktu yang mencabar ini dikekalkan.

“Ini mencerminkan komitmen KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli dengan memelihara dan meningkatkan nilai simpanan mereka, sambil pada masa yang sama memastikan keperluan jangka pendek mereka dipenuhi tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang.

“Walaupun KWSP kekal berhati-hati dalam menghadapi suku seterusnya berikutan risiko berkaitan varian COVID-19 terbaharu yang lebih mudah tersebar, kami ingin meyakinkan ahli bahawa KWSP akan terus mengambil langkah wajar bagi melindungi simpanan persaraan.

“Langkah ini melalui pelaksanaan rangka kerja tadbir urus KWSP yang mantap, demi memastikan mandat dan sasaran strategik untuk memberi ahli sebuah persaraan yang mampan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/06/825410/kwsp-raih-pendapatan-pelaburan-kasar-rm1929-bilion