KWSP tidak hantar sebarang SMS pasal pemindahan Akaun Fleksibel

KWSP tidak hantar sebarang SMS pasal pemindahan Akaun Fleksibel

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meminta orang ramai agar berwaspada dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai pemindahan Akaun Fleksibel.

“Penipuan baharu! Scammer menyamar sebagai pihak KWSP mengenai pemindahan Akaun Fleksibel.

“Jangan mudah terpedaya dengan penipuan scammer dan sentiasa berhati-hati,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Terdahulu, tular tangkap layar ‘scammer’ yang memasang perangkap bagi memperdaya pencarum KWSP susulan pemindahan Akaun Fleksibel.

Untuk rekod, Akaun Fleksibel merupakan inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei lalu bertujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan pencarum.

Melalui inisiatif tersebut, pencarum boleh mengeluarkan wang secara terus minimum RM50 hingga RM250 sehari.

Menurut paparan maklumat di aplikasi KWSP i-Akaun, ahli yang mahu mengeluarkan wang melebihi RM250 perlu melalui proses electronic Know-Your-Customer (e-KYC) secara dalam talian.

Selain itu, pencarum boleh menggunakan alternatif lain seperti mengunjungi pejabat KWSP terdekat bagi pengesahan cap jari.