Lafaz cerai terhadap isteri tanpa niat, Hafidz Roshdi mohon mahkamah teliti semula
Kisah kecurangan dan penceraian rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi dengan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri masih ‘panas’ menjadi bualan di media sosial.
Meskipun sudah melafazkan cerai talak satu di hadapan ahli keluarga masing-masing menerusi telefon, namun aktor berusia 29 tahun itu dilaporkan membuat permohonan pengesahan di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Mohon teliti dari segi rukun dan syarat
Menurut sumber Harian Metro, pelakon drama Jesnita itu memohon mahkamah untuk meneliti setiap dakwaan berlakunya lafaz cerai dari segi rukun dan syarat.
“Hafidz memberitahu mahkamah lafaz cerai terhadap isterinya dibuat tanpa niat.
“Jadi, dia memohon mahkamah untuk meniliti lafaz cerai sama ada lafaz itu sah atau boleh menggugurkannya,”kata sumber.
Tambah sumber, mahkamah bakal menetapkan satu tarikh baru untuk pengesahan lafaz cerai membabitkan pasangan itu .
Terdahulu, peserta Hero Remaja 2011/12 didakwa sudah menceraikan isterinya dengan talak satu bersaksikan keluarga mereka dan ia diakui oleh adik Shuhada sendiri.
Sebelum itu, nama Hafidz menjadi bualan ramai apabila Shuhada mendedahkan suaminya menjalinkan hubungan dengan wanita lain bernama Athira Yuhada. Bagaimanapun, wanita berkenana sudah berjanji tidak akan menganggu rumah tangga mereka selain tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Sekadar info, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.