Lafaz ikrar perkahwinan oleh Saifuddin tidak libat upacara keagamaan – Bekas menteri Agama

Lafaz ikrar perkahwinan oleh Saifuddin tidak libat upacara keagamaan – Bekas menteri Agama

 

Proses pendaftaran Perkahwinan Sivil oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang tular di media sosial semalam, tidak melibatkan sebarang upacara keagamaan.

Jelas bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, upacara perkahwinan agama Hindu membabitkan tiga prasyarat utama dan ada pun video yang tular itu adalah prosedur biasa di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Upacara perkahwinan hindu ada tiga prasyarat utama iaitu Kanyadana, Panigrahana, dan Saptapadi. Upacara perkahwinan dikira sempurna dengan adanya Saptapadi iaitu ritual mengelilingi api.

“Ada pun video yang tular itu adalah prosedur biasa JPN bagi perkahwinan bukan Muslim dan tidak melibatkan apa-apa upacara keagamaan,” balasnya dalam satu ciapan di X.

Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang pengguna X yang bertanya pandangannya tentang seorang Islam yang menyertai upacara perkahwinan pasangan bukan Islam dan menjadi jurunikah kepada perkahwinan tersebut.

perkahwinan

Semalam, Saifuddin menghadiri Majlis Sambutan Jubli Intan JPN di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, di mana antara pengisian program ketika itu adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang telah dipilih oleh JPN.

Video beliau yang melakukan pendaftaran pasangan bukan Islam itu tular kerana dianggap menjadi jurunikah kepada pasangan terbabit.

JPN bagaimanapun menerusi kenyataannya menegaskan, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN Putrajaya itu adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.

Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata selain ia juga adalah persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan itu dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.