Lagi kejadian bunuh di Kelantan, warga emas maut dipukul jiran

Lagi kejadian bunuh di Kelantan, warga emas maut dipukul jiran

Seorang warga emas meninggal dunia selepas dipukul jiran dalam satu kejadian pergaduhan di Jalan Kelochor, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Memetik laporan Malaysiakini, pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan awal dipercayai kejadian pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan suspek.

Menurutnya pihak polis menerima laporan kira-kira 12.20 tengah hari berhubung kejadian pergaduhan membabitkan mangsa dan suspek.

“Pihak polis menemui mangsa berusia 60-an itu dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di bahagian dapur rumahnya.

ADS
“Suspek juga merupakan jiran mangsa, kejadian dipercayai berlaku di laluan hadapan rumah suspek yang bertentangan dengan bahagian belakang rumah mangsa.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Muhamad Zaki berkata, mangsa didapati mempunyai kesan luka dan bengkak pada bahagian belakang kepala serta kesan calar pada tangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu dan mangsa bertindak melarikan diri pulang ke rumahnya, sebelum ditemui isterinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah.

“Susulan daripada itu, pihak polis berjaya menahan suspek serta merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Menurut suspek, kejadian berpunca daripada ketidakpuashatinya kerana mangsa menanam pokok di laluan jalan menyebabkan kenderaan milik suspek sukar melalui jalan tersebut,” katanya.

Tambahnya, suspek merupakan seorang lelaki berumur pertengahan 60-an dan tidak bekerja.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan sebab kematian mangsa kerana serangan jantung dan pada masa yang sama berlakunya kecederaan yang menyebabkan kesakitan sehingga berlakunya serangan jantung tersebut.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan tindakan direman diambil untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Muhamad Zaki.