Lagi kejadian pelajar asrama, ibu dakwa anak diarah lakukan seks oral oleh kawan

Lagi kejadian pelajar asrama, ibu dakwa anak diarah lakukan seks oral oleh kawan

Polis menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat seorang wanita mendakwa anaknya yang belajar di sebuah sekolah menengah berasrama di sini, dipaksa melakukan seks oral oleh rakan.

Pelajar tingkatan dua itu juga didakwa cuba mencederakan diri dengan pisau selepas tertekan dengan perbuatan jijik rakan di rumahnya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan laporan polis dibuat ibu mangsa berusia 37 tahun, kejadian itu terbongkar selepas anak lelakinya kelihatan murung dan cuba mencederakan diri.

Katanya, wanita itu mendakwa rakan asrama sekolah anaknya itu melakukan perbuatan jijik dengan cara memaksa mangsa melakukan seks oral.

“Kejadian itu menyebabkan anaknya ketakutan dan trauma.

“Mangsa dikatakan meracau pagi semalam sebelum dihantar oleh keluarganya ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Christopher berkata, kes itu masih dalam siasatan kerana polis belum merakam percakapan pelajar terbabit yang kini berada di hospital untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, setakat ini juga polis belum menahan mana-mana pelajar disyaki terbabit untuk siasatan.