Lagi kejadian pesta seks dan dadah, 35 ditahan berpesta 4 hari

Lagi kejadian pesta seks dan dadah, 35 ditahan berpesta 4 hari

Keseronokan 35 individu meraikan ulang tahun kelahiran seorang doktor swasta dengan parti liar membawa padah apabila polis menyerbu sebuah kediaman mewah di Jalan Conlay malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Nasri Mansor berkata, serbuan pada 11 malam itu dibuat berdasarkan maklumat awam.

Selain khayal disyaki mengambil minuman bercampur dadah, katanya, ada di antara mereka yang berjudi dan mengadakan seks bebas.

“Ketika serbuan dijalankan serentak ke atas empat bilik (di tingkat 12 dan 14), semua individu terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita tempatan, lima wanita warga Vietnam, seorang wanita warga Thailand serta dua lelaki warga China, sedang leka berhibur dengan alunan muzik kuat.

“Semua yang ditahan itu berusia 21 hingga 35 tahun dan siasatan awal mendapati mereka menempah empat bilik itu selama dua malam sejak petang semalam (Jumaat) hingga Ahad untuk berparti,” katanya dipetik Berita Harian.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, polis turut merampas 20 botol minuman jus buah disyaki mengandungi dadah, dua kotak kondom, set daun terup dan mangkuk berisi buah dadu, peralatan sistem audio serta lampu disko.

Katanya, tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit kegiatan pelacuran, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 4(1) Akta Hiburan dan Akta Imigresen.

Semua individu terbabit turut dikompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 2) 2021, kerana melanggar perintah kawalan pergerakan.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/12/35-ditahan-sambut-ulang-tahun-kelahiran-doktor-dengan-pesta-seks-dadah/

COMMENTS