Lagi kejadian rogol berkumpulan di Kelantan, 6 remaja bawah umur antara 9 lelaki yang direman

Lagi kejadian rogol berkumpulan di Kelantan, 6 remaja bawah umur antara 9 lelaki yang direman

Sembilan lelaki termasuk enam remaja bawah umur direman bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan dalam kejadian di Jalan PCB di sini.

Mereka yang berusia antara 13 hingga 21 tahun masing-masing direman lima hari bagi enam remaja dan tiga lagi yang berusia 18 hingga 21 tahun direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Khamis depan.

Menurut Harian Metro, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Izdham Naim Che Ani untuk siasatan mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, sembilan lelaki terbabit tiba di Mahkamah Kota Bharu pada jam 9.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkait kes rogol membabitkan mangsa bawah umur.

Katanya, mangsa memaklumkan keluar rumah di Wakaf Bharu, Tumpat jam 9 malam pada 25 Oktober lalu dan tinggal bersama teman lelakinya di Kampung Semut Api, Jalan PCB.

“Ketika tinggal bersama suspek, mangsa melakukan hubungan bersama suspek dan rakan-rakan lelakinya yang lain.

“Hasil siasatan polis, ibu mangsa membuat laporan polis berkait kehilangan anaknya pada 16 November lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau.