Lagi kes di Kelantan, kanak-kanak 3 tahun ditemui kritikal dengan kesan dadah

Lagi kes di Kelantan, kanak-kanak 3 tahun ditemui kritikal dengan kesan dadah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan berada dalam keadaan kritikal selepas pihak hospital menemui dadah dalam badannya di Hospital Gua Musang, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan, bapa saudara mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan.

Tambahnya kejadian seumpama itu pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

“Satu laporan kita terima daripada doktor di Gua Musang pada semalam jam 5 pagi pengadu terima pesakit kanak-kanak kritikal berusia 3 tahun 9 bulan dibawa oleh ibu.

“Apabila diperiksa didapati dalam tubuh kanak-kanak ada kandungan dadah. Kes ini agak mengejutkan.

“Kanak-kanak ini dipercayai di bawah jagaan bapa saudaranya ketika kejadian dan siasatan kini dijalankan bagi memastikan sama ada kanak-kanak ini diberi dadah atau dibiarkan terdedah kepada dadah,” katanya.

Menurut Muhamad Zaki, pihak polis menerima laporan dari doktor hospital berkenaan yang menemui dadah jenis Methamphetamine dalam badan mangsa dengan berat dadah belum diketahui.
Susulan itu pihak polis telah menahan bapa saudara kanak-kanak berusia 32 tahun di Kuala Krai sekitar jam 10 malam tadi dan akan direman hari ini.

Hasil soal siasat, suspek mengaku membawa anak saudaranya ke tempat yang dipercayai port dadah.

Muhamad Zaki berkata, kanak-kanak itu telah dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

Pihaknya juga sedang menjalankan siasatan sama ada berlaku kecuaian pada ibu bapa kanak-kanak malang itu.

COMMENTS